Saiz Teks

A- A A+

Pilihan Warna

A A

settings

A- A A+
A A
  • Utama
  • e-Penyertaan
  • Suara Anda
  • Cadangan RTM Bekerjasama Dengan Pihak Luar Dalam Pembikinan Drama

Suara Anda

Cadangan RTM Bekerjasama Dengan Pihak Luar Dalam Pembikinan Drama

Dikemaskini pada .

Pengadu :

Ramly Yusoff

 

Aduan/Pertanyaan/Cadangan : 

Saya ingin mengulas cadangan pengarah filem, Raja Mukhris Raja Kamarudin, baru-baru ini, supaya Radio Televisyen Malaysia (RTM) bekerjasama dengan pihak luar dalam pembikinan drama diterbitkan oleh stesen kerajaan itu.

Sebagai individu yang terlibat secara langsung dalam industri berkenaan, beliau sedar bahawa drama terbitan stesen televisyen itu masih terdapat kekurangan terutama dari segi aspek teknikal seperti visual, grafik dan audio.

Pandangan beliau itu hampir sama dengan pendapat seorang lagi pengarah filem, U-Wei Saari, supaya RTM mengubah struktur dan budaya penerbitan drama yang telah berusia lebih 70 tahun, yang dianggap beliau sudah lapuk.

Pendapat kedua-dua pengarah filem berkenaan wajar diteliti sejajar dengan hakikat RTM perlu membaiki segala kelemahan dalamannya sebelum boleh dijadikan sumber rujukan pelbagai pihak.

Tidak salah untuk RTM memberi tumpuan menaik taraf kualiti drama terbitan stesen itu dan pada masa sama kekal menyiarkan rancangan mengandungi mesej dasar kerajaan yang tidak dibuat oleh stesen televisyen swasta.

Saya yakin RTM mampu menjadi pemimpin dalam industri penerbitan drama di Malaysia kerana rancangan yang diterbitkan stesen itu sebelum ini mempunyai jalan cerita dan mesej lebih baik berbanding diterbitkan stesen swasta.

Tidak perlulah RTM meniru stesen swasta yang menerbitkan rancangan yang bertujuan melayan nafsu dan cita rasa penonton.

RTM tidak perlu menggunakan kaedah itu bagi mengatasi stesen swasta terbabit dari segi bilangan penonton.

Perkara itu adalah tidak perlu kerana RTM mempunyai tanggungjawab sosial untuk mendidik dan membentuk masyarakat yang beriinovasi serta kreatif berlandaskan dasar-dasar kerajaan.

Dengan kata lain, RTM patut menjadi pemimpin dalam industri drama yang bertujuan mendidik masyarakat supaya menjadi penonton yang menghargai seni kreatif bermutu tinggi dan bukannya karya picisan atau yang dipengaruhi budaya popular sahaja.

Bagaimanapun, mampukah RTM menjadi pemimpin dalam industri drama negara dengan kandungan lebih patriotik dan sarat dengan mesej berguna?

Saya yakin langkah itu boleh dibuat sekiranya pegawai di Unit Drama RTM menggunakan kepakaran mereka bagi memilih skrip terbaik yang dihasilkan penulis dari seluruh negara.

Pada masa sama, pegawai  RTM harus bekerjasama dengan pihak luar bagi meningkatkan mutu visual, audio dan grafik drama terbitan stesen berkenaan.

Antaranya, dengan mewujudkan jurukamera, pelukis grafik dan juruaudio yang memiliki kemahiran umum dan asas sahaja.

Mereka ini turut melaksanakan tugas secara guna sama untuk program berita, rencana, siaran langsung dan sukan.

 

Maklum Balas/Tindakan : 

Merujuk kepada Surat Kepada Pengarang (SKP) Utusan Malaysia, bertarikh 30 November 2016 (Rabu), ruangan FORUM, Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) mengucapkan terima kasih kerana memberi maklum balas mengenai drama RTM.

Untuk makluman, Unit Drama TV, RTM telah lama mengamalkan garis panduan sendiri yang disediakan oleh Jabatan dalam menentukan hala tuju penerbitan drama iaitu drama-drama TV terbitan RTM tidak pernah mengikut mana-mana trend drama di stesen-stesen TV lain terutama stesen TV swasta tempatan. Drama TV terbitan RTM menitikberatkan aspek mesej nilai-nilai murni dan kemanusiaan sejagat daripada nilai-nilai komersial.

Unit Drama TV, RTM telah pun mengamalkan dan menggunakan kepakaran luar dalam banyak penerbitan drama TV yang membabitkan sewaan peralatan penggambaran, jurukamera, pengarah fotografi (director of photography), jurulampu, juruaudio serta perkhidmatan penciptaan lagu tema dan muzik latar.

Usaha-usaha sedang dilakukan untuk menambah penggunaan kepakaran luar yang lebih kerap pada masa akan datang bagi tujuan pendedahan kakitangan Unit Kamera, Unit Lampu, Unit Audio serta Unit Drama TV sendiri agar menjadi lebih cekap, kreatif dan kompetitif dalam bidang penerbitan drama TV .

Bagi tahun 2017, Unit Drama TV, RTM telah pun merancang untuk melipatgandakan usaha ke arah meningkatkan kualiti drama TV terbitan RTM dengan melaksanakan strategi mempelawa penulis skrip dan karyawan tempatan menawarkan idea serta skrip kepada Unit Drama TV, RTM dan pemilihan akan dibuat secara pitching.

Usaha ini telah pun dimulakan pada 29 November 2016 dengan memberikan Taklimat Keperluan Idea dan Skrip Rancangan Unit Drama TV, RTM tahun 2017 dan telah mendapat sambutan yang menggalakan daripada penulis dan karyawan dalam industri penerbitan rancangan TV tempatan.

Cetak Emel

offcanvas