Article

SIARAN MEDIA - Antara Rebab & Tari Kazumi

Last modified on .

 

 

Nadia Aqilah ‘Hidupkan’ Watak Gadis Jepun Dalam Telemovie “Antara Rebab & Tari Kazumi” di TV2

 

KUALA LUMPUR, 14 Ogos 2017 – Bertemakan perjuangan cinta seorang gadis Jepun terhadap pemuda Melayu yang tidak mendapat restu dari bapanya, telemovie bertajuk “Antara Rebab & Tari Kazumi” yang bakal menemui penonton Radio Televisyen Malaysia (RTM) sememangnya sarat dengan dendam yang tidak berkesudahan.

Menampilkan gandingan mantap pelakon Asrul Faizal, dan Nadia Aqilah yang berikan watak utama sebagai gadis Jepun bernama Kazumi, telemovie terbitan Pisdec Creative Sdn. Bhd. ini disiarkan pada 25 Ogos ini, pukul 9.30 malam mengisi slot Citra di TV2. Ia turut dibintangi oleh Kuna, Sulaiman Yasin dan Nazri Ahmad.

Kisahnya bermula dengan perkembangan watak Aki Kazumi seorang gadis Jepun berhijrah ke Kuala Lumpur sejak berumur sepuluh tahun bersama ayahnya, Iesyiko Yimura seorang ahli perniagaan. Kazumi membesar dan belajar di Malaysia sehingga dia fasih berbahasa Melayu dan mencintai budaya Melayu terutamanya Mak Yong.

Setelah tamat pengajian, Kazumi mendapat pekerjaan sebagai wartawan dan ditugaskan di Kota Bharu. Di sana dia tinggal di rumah orang tua Ikhwan, kawannya semasa di universiti dulu yang sekarang bekerja sebagai pensyarah.

Hujung minggu Ikhwan akan pulang ke rumah orang tuanya dan suka bermain rebab. Kebiasaannya Kazumi akan menyanyi dan menari dengan diiringi gesekan rebab Ikhwan. Ikhwan telah meluahkan cintanya kepada Kazumi dan bersambut.

Yimura menghantar orang-orangnya untuk mengintip Kazumi di Kota Bharu. Setelah mengetahui Kazumi bercinta, Yimura memanggil Kazumi balik ke Kuala Lumpur dan menyuruh mengikutnya balik ke Nagoya bagi menghalang cinta Kazumi.

Kazumi telah dikurung dan dia meminta bantuan Ikhwan. Kazumi berjaya melarikan diri dan diselamatkan oleh Ikhwan. Mereka berdua berjaya dijejaki dan ditangkap oleh konco-konco Yimura.

Setelah keduanya dibawa ke rumah, Yimura lalu memberitahu bahawa dia menghalang cinta Kazumi kerana dia membenci orang-orang Melayu. Rupa-rupanya datuk Kazumi pernah menjadi askar di Tanah Melayu. Dia bercinta dengan perempuan Melayu dan dibunuh oleh orang-orang Melayu setelah berlaku salah faham.

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.        

 

- ### -

 

 

 

 

Print