Article

SIARAN MEDIA - Album Usang

Last modified on .

 

Kisah Banteras Jenayah Latari Telemovie Khas Merdeka, “Album Usang” di TVi

KUALA LUMPUR, 17 Ogos 2017 – Bertemakan konflik dan dilema berkaitan persahabatan, tugas dan jenayah yang wujud di kalangan empat orang sahabat karib, Radio Televisyen Malaysia (RTM) meraikan semarak sambutan Merdeka ini dengan menayangkan telemovie bertajuk  “Album Usang” pada 31 Ogos Ini, pukul 2.00 petang di TVi.

Mengetengahkan pelakon Qazem Nor, Damien Wu, Lan Siro, Liann Tan, dan Arivanath Subramaniam, telemovie arahan Abdul Rahim Awang  ini mengangkat kisah empat sahabat berlainan bangsa iaitu Hashim, Mokhtar, Morgan dan Robert bersahabat baik ketika mereka belajar di kolej hingga sekarang masing-masing mempunyai kerjaya sendiri.

Sewaktu di kolej, Hashim bercinta dengan Mary, adik Robert namun hubungan mereka dihalang keras oleh ayah Mary. Situasi itu serba sedikit merenggangkan hubungan mereka yang sekian lama terjalin.

Begitu pun setelah sekian lama terputus hubungan, mereka merancang untuk bertemu semula. Apatahlagi kini masing-masing sudah berjaya dan memiliki kejayaan yang boleh dibanggakan. Hashim bekerja sebagai pegawai polis manakala Morgan memiliki firma guaman sendiri. Mokhtar pula bertugas sebagai hakim manakala Robert pula terlibat dalam bidang perniagaan.

Seperti dijanjikan akhirnya mereka bertemu. Masing-masing gembira dapat berjumpa setelah sekian lama tak bertentang mata. Di sebalik pertemuan itu, Hashim mengesyaki Robert terlibat dalam jenayah apabila beliau secara berjenaka mengaku yang dirinya merupakan ketua sindiket.

Meskipun sukar untuk membuat keputusan, namun demi menegakkan kebenaran dan membanteras jenayah, Hashim meneruskan siasatan rapi. Hashim bersama anggotanya bersiap sedia untuk melakukan serbuan di pantai berkaitan kemasukan pendatang haram.

Tiba-tiba pasukan polis diserang oleh Mokhtar namun Robert terkorban ketika menyelamatkan Hashim. Mokhtar dan rakannya mati ditembak polis dan sebenarnya Mokhtar juga terlibat dalam jenayah pendatang haram. Situasi itu mengejutkan semua. Lalu apakah kesudahannya?

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.    

    

- ### -

 

 

 

Print