Article

SIARAN MEDIA - Wira Belantara

Last modified on .

 

Dokumentari Khas Merdeka “Wira Belantara”, Kisah Perjuangan Senoi Praaq di TV1

KUALA LUMPUR, 21 Ogos 2017 – Sebagai Rakyat Malaysia kita sepatutnya berterima kasih dan berbangga dengan peranan berkesan yang dimainkan oleh pasukan Senoi Praaq. Namun apakah yang dimaksudkan dengan Senoi Praaq? Kenapa mereka dikenali sebagai Senoi Praaq?

Mungkin hanya sedikit kalangan kita terutama anak muda yang mengenali sejarah perjuangan mereka. Hakikatnya inilah pejuang yang tidak didendang walaupun perjuangan mereka sangat penting untuk kemerdekaan kita yang mencecah angka 60 pada tanggal 31 Ogos ini.

Khas meraikan sambutan hari kemerdekaan negara, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyuntik semangat perjuangan yang tinggi masyarakat mendekati dan lebih mengenali siapakah Senoi Praaq yang sebenarnya menerusi tayangan dokumentari bertajuk “Wira Belantara” pada 31 Ogos ini, pukul 2.30 petang di TV1.

Pastinya program diterbitan Unit Dokumentari dan Majalah RTM ini mampu menaikkan semangat semua penonton agar mencintai tanah air yang bertuah ini.

Senoi Praaq atau orang perang dalam bahasa Semai mempunyai perjalanan sejarah yang panjang dalam cerita tentang pasukan keselamatan negara. Ditubuhkan pada 1956 dan hanya dianggotai oleh 10 pemuda Orang Asli dari Cameron Highlands, Pahang ketika itu.

Tugas utama adalah sebagai penjejak untuk menyekat keganasan komunis. Turut dikenali sebagai silent killer oleh pihak British. Pasukan elit Polis Diraja Malaysia ini, hanya dianggotai oleh kaum orang asli. 

Amat digeruni oleh pihak komunis, terutama sekali apabila Sarjan Mejar Bersara Apot Ak Saad atau lebih dikenali dengan gelaran Big Nose menyertai operasi membenteras komunis semasa darurat. 

Ikuti kisah wira belantara daripada suku kaum Asli yang sehati sejiwa bersama pasukan elit Senoi Praaq sehingga hari ini. Saksikan pengiktifaran yang diberikan kepada masyarakat Orang Asli amnya dalam dokumentari ini.

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.   

- ### -

Print