Article

SIARAN MEDIA - Ke Pintu Kaabah

Last modified on .

 

 

Cabaran Ingin Menunaikan Haji Dalam Telemovie “Ke Pintu Kaabah” di TV1

KUALA LUMPUR, 29 Ogos 2017 – Menggandingkan pelakon Catriona Ross dan Tisha Samsir sebagai anak dan ibu dalam telemovie bertajuk “Ke Pintu Kaabah” khas sempena Aidiladha, karya pengarah Asri Alias bakal menemui penonton Radio Televisyen Malaysia (RTM) ini mengangkat tema perjuangan seorang wanita yang menghadapi pelbagai cabaran untuk menunaikan hasrat beliau mengerjakan ibadah haji di Mekah.

Turut dibintangi oleh Izzue Islam, Mustapha Kamal, Kuna Muzani dan Z.Zamrie, telemovie yang disiarkan pada 1 September ini, pukul 10.00 malam mengisi slot Panggung Khas di TV1 sarat dengan motivasi kepada seseorang bila adanya kesungguhan untuk mencapai sesuatu perkara pastinya ada jalan yang bakal menyorong seseorang itu mengecap kejayaan. Apatahlagi bila impian yang dicitakan itu perkara baik dan usaha mengumpul pahala besar jika dilakukan.

Kisah ini dibawakan watak Mek Som mahu menunaikan rukun Islam kelima menjadi tunjang cerita telemovie kekeluargaan ini. Latar ceritanya bermula dengan memperkenalkan watak wanita separa usia dikenali sebagai Mek Som yang juga merupakan seorang ibu tunggal memendam hasrat untuk menunaikan ibadat haji ke Mekah.

Kehilangan suaminya di laut menyebabkan kehidupan beliau bersama anaknya Fadilah semakin sukar. Justeru Fadilah mengambil keputusan untuk bekerja di butik Puan Aisah di bandar bagi menambah duit simpanan ibunya ke Mekah.

Sementara itu muncul pemuda bernama Farid yang baru pulang belajar dari luar negara tertarik dengan Fadilah dan mula berkawan dengannya. Sebenarnya Farid merupakan anak Puan Aisah dan beliau merahsiakan kepulangan ke Malaysia daripada pengetahuan ibu bapanya. Beliau berhasrat untuk hidup berdikari terlebih dahulu.

Fadilah sering becerita dengan Farid tentang hasrat ibunya hendak ke Mekah. Perkara itu didengari Farid dengan niat mahu membantu kawan istimewanya itu. Namun hasrat itu hanya disimpan dalam hati.

Satu hari Farid terlibat dengan kemalangan motosikal akibat perbuatan khianat seseorang. Ketika di hospital, rahsia Farid terbongkar dan beliau dapat bertemu dengan ibu bapanya semula.

Farid berterus-terang kepada keluargnya untuk berkahwin dengan Fadilah. Meskipun mengenali Fadilah dalam waktu yang singkat namun peribadi wanita itu berjaya menambat hatinya. Dia dapat merasakan Fadilah jodoh terbaik untuknya. Dia kemudiannya membawa Fadilah berjumpa keluarganya.

Adakah hubungan mereka direstui keluarga Farid? Pada masa sama adakah impian Mek Som untuk menunaikan haji tahun itu tercapai? Ikuti kesudahannya di penghujung telemovie ini.

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.   

 

Print