Article

SIARAN MEDIA - Khas Maal Hijrah

Last modified on .

 

Karya Mior Hashim Manap dan Shahrulezad Mohameddin, Khas Maal Hijrah Ini Di RTM

KUALA LUMPUR, 13 September 2017 – Dua telemovie arahan pengarah terkenal Mior Hashim Manap dan Shahrulezad Mohameddin bakal menemui penonton setia saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM) khas sempena sambutan Awal Muharam atau Maal Hijrah yang disambut seluruh umat Islam pada 22 September 2017 – 1439 Hijrah.

Disiarkan pada hari sama 22 September ini, telemovie karya Mior Hashim Manap bertajuk “Janji Allah” disiarkan pukul 3.05 petang menerusi TV1 manakala telemovie “Hijrah Di Ufuk Senja” arahan Shahrululezad Mohameddin menemui penonton saluran TV2, pukul 9.30 malam.

“Janji Allah” menampilkan lakonan mantap Amerul Affendi, Nadiya Nissa, Suhaimi Zakaria, Wan Maimunah, dan Rahman Bakri bertemakan konflik kekeluargaan yang melibatkan seorang anak dengan ibu tirinya berkaitan amanah harta pusaka.

Kisahnya bermula dengan Mak Munah tinggal bersama anak OKU, Udin merupakan ibu tiri kepada Wawa yang telah kematian ayahnya. Wawa belajar di luar negara dengan wang tanah ayahnya yang dipajak setelah beberapa kali mendesak ibu tirinya memujuk ayahnya untuk berbuat demikian.

Wawa pulang bekerja di Malaysia setelah tamat belajar namun enggan bertemu ibu tirinya dan Udin. Wawa memberi tempoh seminggu kepada ibu tirinya untuk mengosongkan rumah uzur tersebut kerana beliau telah menjual tanah tersebut.

Keadaan menjadi kecoh kerana apabila cukup tempoh, pihak pembeli datang untuk merobohkan rumah yang didiami Mak Munah dan Udin. Wawa bergegas datang dan meminta penjelasan pihak pembeli yang mana Wawa berjanji untuk menebus kembali tanah tersebut.

Mujur majikan Mak Munah dan Udin, iaitu En. Musa masuk campur dan berjanji untuk membayar semula kepada pihak pembeli bagi tujuan penebusan tanah tersebut. Wawa yang insaf segera memohon maaf kepada Mak Munah. Namun adakah dia berjaya menuntut kemaafan daripada ayahnya?

Selami erti penghijrahan yang sebenarnya dalam telemovie “Hijrah Di Ufuk Senja” tentang kecelaruan yang dialami oleh seorang suami yang kehilangan isteri dan anak-anaknya akibat kecuaiannya sendiri. Ia menceritakan setelah kejadian yang menimpa keluarganya, Saiful dimasukkan ke hospital kerana tekanan perasaan. Dia merasa bersalah kerana menjadi punca isteri dan anak-anaknya mati dibunuh. Selepas pulang ke rumah dia asyik ternampak isteri dan anak-anaknya muncul dan bercakap-cakap dengannya.

Sementara itu Madiha turut dihantui perasaan bersalah kerana menghantar abangnya, Maman ke rumah Saiful sehingga terjadinya pembunuhan itu. Madiha mencari peluang untuk berterus terang dengan Saiful tetapi setiap kali berdepan Saiful, lidahnya kelu.

Suatu hari kereta Saiful rosak dan dibantu oleh Osman yang kemudiannya mempelawa dia belajar agama. Setelah Saiful bersetuju, Osman mengatur pertemuan Saiful dengan Tok Ayah iaitu guru agamanya. Saiful datang bersama Madiha dan Madiha mendapati ajaran yang disampaikan oleh Tok Ayah agak pelik lalu bertanya. Madiha dihalau oleh Tok Ayah dan pengikut-pengikutnya tetapi Saiful tetap berada di situ hingga tamat.

Esoknya Madiha datang ke pejabat Saiful dan memberitahu Saiful kebimbangannya tentang ajaran Tok Ayah tetapi Saiful seperti tidak mengendahkannya. Husna, kawan serumah Madiha telah menemui bukti bahawa ajaran Tok Ayah adalah ajaran sesat.

Madiha dan Husna menemui Saiful untuk memberitahunya. Rupanya Saiful sudah tahu dan telah membuat laporan kepada pihak berkuasa sehingga Tok Ayah ditangkap. Madiha tidak dapat lena pada malam itu kerana belum berterus terang lalu ke rumah Saiful.

Ikuti kesudahan jalan cerita lakonan Azhan Rani, Eenaz Mokhtar, Nadia Aqila, Ruzana Ibrahim dan Putri Syahadah Nurqseh ini.

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.   

- ### -

Print