Article

SIARAN MEDIA - Juara Patriotik Serumpun Kasih Radio Klasik 2017

Last modified on .

 

Juara Patriotik Serumpun Kasih Radio Klasik 2017 Milik Siti Aishah Ramli

KUALA LUMPUR, 20 September 2017 – Lagu ‘Wira’ yang dipopularkan oleh Datuk Yusni Hamid nyata membawa tuah kepada Siti Aishah Ramli apabila nama beliau diumumkan sebagai juara Pertandingan Juara Patriotik Serumpun Radio Klasik 2017 yang berlangsung di Auditorium Perdana, Angkasapuri, baru-baru ini.

Kemenangan tersebut melayakkan beliau membawa pulang wang tunai RM3,000.00 beserta trofi, sijil dan hadiah iringan.

Tempat kedua menjadi milik peserta berasal dari Kuala Lumpur iaitu Nor Azri Zainuddin yang menerima wang tunai RM2,000.00 dan tempat ketiga dimenangi oleh Siti Nurnadia Mohd Rozi menerima wang tunai RM1,000.00. Masing-masing turut disertai trofi, sijil dan hadiah iringan.

Persembahan Nor Azri Zainuddin menyanyikan lagu ‘Banjaran Titiwangsa’ dan Siti Nurnadia Mohd Rozi dengan lagu ‘Tanah airku’ berjaya memikat hati juri pertandingan terdiri daripada Jimmy Ali, Jari, dan Datin Fatimah Huri.

Pertandingan yang diadakan bersempena sambutan ulang tahun Hari Kebangsaan ke-60 dan Hari Malaysia ke-54 tahun 2017 ini turut disertai lapan peserta lain Nabilah Mohamad (Bunga Semarak), Siti Noor Ain Mohd Rozi (Keindahan Desa), Mohd Ikhmal Ismail (Untuk Satria), Zarith Syuhada Mohd Yasin (Semarakkan Api Cinta), Eda Fazilah Ismail (Tinggallah), Rosiah Baharuddin (Selamat Pergi Pahlawanku), dan Mohd Shahrom Talhah (Pembimbing Negara).

Pertandingan kerjasama Radio Klasik dengan TZ Emas Ventures Sdn. Bhd. yang dianjurkan buat julung kalinya ini mengetengahkan lagu-lagu rakaman baharu dan lama yang jarang diputarkan dicorong-corong radio bertemakan cinta kepada tanah air serta keindahan Malaysia.

Penonton turut dihiburkan dengan persembahan artis undangan Akma Abdullah yang menyampaikan dua lagu, ‘Si Baju Hijau’ dan ‘Kuala Lumpur’ juga kemunculan Datin Fatimah Huri menghiburkan dengan lagu ‘Perwira’.

Hadiah disampaikan kepada pemenang oleh Tengku Idris Tengku Din, Timbalan Pengarah Program Radio.  

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.   

 

- ### -

 

Print