Saiz Teks

A- A A+

Pilihan Warna

A A

settings

A- A A+
A A

Newspaper Cutting

Bernama: Pelaburan Cemerlang TH Properties Di Luar Negara

Last modified on .

 

 


Bay Pavillion mencipta sejarah buat TH Properties sebagai projek perumahan sulungnya di Australia Foto Bernama
Oleh Nurul Halawati Mohamad Azhari

KUALA LUMPUR (Bernama) -- TH Properties Sdn Bhd (TH Properties) aktif dalam pembangunan hartanah, pembinaan serta pengurusan aset dan kemudahan sejak ditubuhkan pada 1980.

Anak syarikat Tabung Haji ini telah mengukir nama dalam sektor hartanah negara dan kini telah mengembangkan sayap ke luar negara dengan beberapa pelaburan yang berjaya di Australia.

Menurut Pengerusinya Datuk Azizan Abd Rahman antara projek pembangunan dalam negara yang telah dan sedang dibangunkan adalah Bandar Enstek dan Taman Desa Ixora di Negeri Sembilan, Taman Machang Manis di Seberang Perai (Pulau Pinang) dan Taman Tabung Haji di beberapa daerah di Kedah.

Manakala dalam industri pembinaan, TH Properties telah menyiapkan pelbagai projek pembinaan bangunan dan infrastruktur seperti Menara Bank Islam di Jalan Perak, Kuala Lumpur, Hospital Pusat Rawatan Islam (Pusrawi) dan Hotel Putra di Jalan Tun Razak Kuala Lumpur, Kompleks Haji dan Hotel di Kuala Nerus, Terengganu, Kompleks Haji dan Hotel di Alor Setar, Kedah,Kem Batalion 3 PGA, PDRM di Bidor, Perak, Ibu Pejabat Polis USJ, Subang Jaya.

"Setelah lebih 30 tahun, kami kini memiliki kelebihan yang tersendiri. Dengan kedudukan kewangan yang kukuh, pasukan yang berpengalaman serta penawaran perkhidmatan yang berintegrasi, sudah tiba masanya untuk melangkah lebih jauh dan mencari peluang di luar negara pula," katanya kepada Bernama.


Suasana dalam apartment Imperial Hurtsville Foto Bernama



SYDNEY PROJEK SULUNG

Azizan menjelaskan pihaknya senantiasa mencari peluang-peluang baharu pembangunan hartanah di luar negara.

Tahun 2015 adalah tahun manis buat TH Properties kerana projek perumahan sulungnya di Sydney Australia yang dilancarkan pada 2013 telah berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual. Malah habis dijual dengan nilai jualan kasar berjumlah RM676 juta (A$220 juta).

Bay Pavillions yang terletak hanya 10 kilometer dari Pusat Bandar Sydney dibangunkan di atas tanah seluas 1.6 hektar.

Menurut Azizan, projek berkenaan dibangunkan secara usahasama 50:50 dengan pemaju Islam tempatan iaitu Bilal El Cheikh. Projek itu melibatkan pembangunan 5 blok pangsapuri setinggi 7-8 tingkat dengan jumlah 273 unit.

Selang beberapa bulan selepas pelancaran projek Bay Pavillions, TH Properties melanjutkan kerjasama dengan Bilal El Cheikh membuat pelaburan keduanya di luar negara.

Projek yang dinamakan Imperial Hurstville itu adalah projek pembangunan pangsapuri di Treacy Street, Hurstville.

"Imperial Hurstville terletak 21 kilometer dari pusat Bandar Sydney dan 7 kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sydney.

"Menariknya, dengan kedudukan hanya 500 meter dari stesen keretapi yang menghubungkan Hurstville dan pusat bandaraya Sydney dengan masa perjalanan 30 minit, lokasinya sangat strategik" tambah beliau.

Projek kedua ini dibangunkan dengan keluasan tanah 0.3 hektar mengandungi 227 unit apartment dan dua lot perniagaan. Apabila siap kelak, pangsapuri setinggi 15 tingkat itu akan membawa Nilai Jualan Kasar RM604 juta (A$197 juta).

"Alhamdulillah dengan izin Allah SWT,sejak dilancarkan penjualannya pada 2014, sebanyak 95 peratus daripada unit yang ditawarkan telah terjual. Ia dijangka siap pada 2017," jelas Azizan.

MELABUR MELAMPAUI SYDNEY

Jelas beliau lagi, TH Properties tidak hanya tertumpu di Sydney sahaja tetapi turut mencari peluang pelaburan di wilayah-wilayah lain di Australia seperti Melbourne, Perth dan sebagainya.

Melihat kepada pencapaian yang memberangsangkan itu, TH Properties telah mendapat keizinan daripada Lembaga Pengarah dan Kementerian Kewangan Malaysia untuk menambah pelaburan bersama Bilal El Cheikh.

Dengan itu TH properties telah memperoleh dua bidang tanah di Sydney; di Wentworth Point berkeluasan 2.5 hektar dan North Strathfield seluas 0.7 hektar pada Jun 2015.

"Kita mengambil kesempatan daripada pasaran hartanah yang memberangsangkan di sana. Di Wentworth Point, projek pangsapuri fasa pertama yang dinamakan One The Waterfront sangat mendapat sambutan. Sejak dilancarkan dalam tempoh dua minggu 100 unit (36 peratus) daripada kesemua 273 unit kediaman dua blok di bangunan sembilan tingkat itu telah terjual," jelas Azizan.

Tambahnya, fasa kedua akan dilancarkan pada tahun ini. Manakala projek pembangunan pangsapuri di North Strathfield dalam proses mendapatkan kebenaran pembangunan dan pelancaran jualannya dijangka pada 2017.

"Dengan kejayaan empat projek dalam tempoh tiga tahun ini, tumpuan TH Properties buat masa ini adalah lebih kepada meningkatkan strategi pemasaran dan jualan.

"Selain di Australia, kami juga berminat melibatkan diri dengan pembangunan hartanah di London dan Jakarta."

POLISI PATUH SYARIAH

Sebagai anak syarikat milik penuh TH, mereka perlu sentiasa memastikan sebarang projek yang dilaksanakan adalah patuh Syariah. Baik dalam aspek kewangan mahupun operasi.

Ia selari dengan objektif dan garis panduan yang telah ditetapkan TH.

"Jadi pelanggan dan pembeli produk kami tidak perlu bimbang dengan unsur-unsur yang tidak patuh Syariah. TH Properties menetapkan untuk mencapai seratus peratus pematuhan dengan bantuan dan nasihat yang diberikan oleh panel Syariah Tabung Haji. Inilah satu keunikan TH Properties yang tidak terdapat pada pemaju-pemaju tempatan yang lain," ulasnya lagi.

Begitu juga dengan pelaburan di luar negara. Masih berpegang kepada polisi syarikat untuk memaksimumkan pulangan kepada pemegang saham iaitu TH, Azizan menjelaskan pihaknya tidak boleh bergantung kepada projek-projek dalam negara sahaja.

"Asalkan ianya tidak berlawanan denan polisi syarikat terutama sekali yang berkaitan dengan pematuhan Syariah.

"Inilah yang sedang kami lakukan, antaranya ialah memilih kerjasama dengan syarikat Islam seperti Bilal El Cheikh," jelas beliau.

Malah, polisi patuh syariah yang ada dapat terus memacu TH Properties ke pencapain yang lebih baik.

-- BERNAMA

Print Email

offcanvas