Saiz Teks

A- A A+

Pilihan Warna

A A

settings

A- A A+
A A

Newspaper Cutting

Bernama: Jabatan Penyiaran Sabah Anjur Konsert Tahun Baharu Cina Di Tenom 23 Jan

Last modified on .

 

 

KOTA KINABALU, 15 Jan (Bernama) -- Jabatan Penyiaran Sabah akan mengadakan Konsert Tahun Baharu Cina Sabah Vfm pada 23 Jan, mulai 7 malam di Dewan Datuk Seri Antenom, Tenom.

Pengarah Jabatan Penyiaran Sabah Ali Ngasio berkata konsert anjuran Unit Sabah Vfm itu diadakan dengan kerjasama Pejabat Daerah Tenom dan Dewan Perniagaan Tionghua Tenom, bertujuan mempromosikan rancangan terbitan Sabah Vfm selain merapatkan hubungan RTM dengan masyarakat setempat.

"Persembahan gimik daripada juruhebah-juruhebah Sabah Vfm siaran Cina dan penonton menjawab kuiz merupakan antara kelainan pada konsert itu," katanya pada sidang media di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kepayan di sini hari ini.

Ali berkata pelbagai aktiviti menarik turut diadakan antaranya persembahan tarian singa dan naga, tarian tradisi Cina dan silap mata manakala artis tempatan yang akan membuat persembahan termasuk Lam Kong Yaw, Liew Guang Yee, Slyvia Voo Ming Yin dan Lee Young Fah.

Beliau berkata konsert yang akan dirakam dan disiarkan pada Tahun Baharu Cina nanti akan dirasmikan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Hajiji Noor.

Sementara itu, Pegawai Daerah Tenom Madiyem Layapan berkata pengunjung luar yang datang menyasikan konsert berkenaan kelak berpeluang menikmati pelbagai produk pelancongan yang terdapat di daerah itu.

Katanya, antara tarikan utama ialah Kopi Tenom yang terkenal dengan aromanya yang wangi, Taman Pertanian yang mempunyai kira-kira 300 spesies bunga orkid, Rumah Kebudayaan yang mempamerkan budaya suku kaum Murut dan perkhidmatan keretapi lama dari daerah Beaufort.

"Daripada 12 sub etnik Murut di Sabah, lapan daripadanya terdapat di Tenom. Tarian 'magunatip' juga berasal daripada kaum Murut di Tenom. Baru-baru ini, tarian magunatip telah dipersembahkan di Rusia dan mendapat tempat pertama," katanya.

Menurut Madiyem Tenom yang terletak di pedalaman Sabah juga menjanjikan kedamaian dan keselamatan kepada pengunjung dengan kadar jenayah sangat rendah.

Katanya Tenom juga mempunyai air terjun tujuh tingkat iaitu Air Terjun Kallang yang amat sesuai untuk rekreasi selain lokasi bersejarah seperti Kubu Antenom, yang dibina pahlawan Sabah semasa penentangan terhadap penjajahan Inggeris.

-- BERNAMA

Print Email

offcanvas