Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata, bagi mencapai matlamat itu lebih banyak rancangan yang bersesuaian dan dekat di hati generasi Y akan disiarkan di Nasio­nal FM mulai tahun ini.

Menurutnya, pendekatan itu secara tidak langsung akan mengeratkan hubungan Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebagai lidah rasmi kerajaan dan ejen perubahan kepada rakyat terutama generasi Y pada masa depan.

“Tidak lama lagi dalam masa kira-kira dua tahun Pilihan Raya Umum Ke-14 akan diadakan. Perlu ada maklum balas daripada golo­ngan pendengar generasi Y dan kajian bagi penambahbaikan dalam saluran radio ini.

“Perlu diwujudkan sinergi yang mantap dan gerak kerja yang lebih terancang bagi menarik perhatian golongan ini. Hubungan secara langsung dengan rakyat secara ce­kap, telus dan dipercayai perlulah dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu ke udara sebagai tetamu menerusi segmen Nadi Pagi di saluran Nasional FM yang dikendalikan oleh penyampai Muaz dan Fiza di Wisma Radio, Angkasapuri di sini hari ini.

Yang turut berada di konti saluran radio kendalian RTM itu ialah Timbalan Ketua Pengarah Peran­ca­ngan Strategik RTM, Datuk Adilah Shek Omar dan Pengarah Bahagian Program Radio RTM, Dr. Na­wiyah Che Lah.

Jailani berkata, Nasional FM yang menyambut ulang tahun keempat tahun ini akan menggunakan konsep ‘santai dan bermotivasi’ melalui banyak rancangan baharu bagi menarik generasi Y.

Nasional FM merupakan saluran radio yang dijenamakan semula se­jak 4 Januari 2012 melalui salah satu proses penjenamaan semula saluran-saluran radio RTM pada 2005 yang bersiaran dalam bahasa Melayu 24 jam setiap hari.

“Format Nasional FM adalah 50 peratus berunsurkan maklumat dan 50 peratus lagi hiburan. Antara rancangan baharu adalah Kafe Gen-Y yang ke udara setiap Ahad dari pukul 12.15 tengah hari hingga 1 petang.

“Kafe Gen-Y akan menjemput tetamu termasuk selebriti, menteri, ahli sukan atau ikon tertentu. Rancangan baharu lain adalah Secawan Kopi dan Kembara yang akan disiarkan secara santai tetapi bermotivasi,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, kementerian katanya, turut merancang pelaksanaan sistem digital ke atas saluran radio-radio RTM selepas peralihan daripada sistem televisyen analog dilaksanakan.

Katanya, proses pendigitalan saluran TV RTM kini dalam percubaan yang meliputi tiga fasa iaitu di kawasan negeri-negeri Pantai Timur, Sabah, Sarawak dan akhir sekali sekitar Lembah Klang sehingga hujung tahun ini.

“Fokus kerajaan ketika ini adalah untuk melaksanakan proses pendigitalan saluran televisyen RTM terlebih dahulu dan proses mendigitalkan saluran radio pula selepas itu apabila tiba masa yang sesuai nanti,” katanya.

 

Rujukan: http://www.utusan.com.my