Saiz Teks

A- A A+

Pilihan Warna

A A

settings

A- A A+
A A

Newspaper Cutting

Utusan: Kekal legasi berkualiti

Last modified on .

 

SITI ATHIRAH DZULKIFLY  |  31 Januari 2016 4:00 PM

 

BINTANG RTM tidak pernah gagal melahirkan bakat baharu dalam dunia seni.

Masih kukuh berpegang kepada objektif mencari bintang seni suara yang versatil dan benar-benar berbakat, Radio Televisyen Malaysia (RTM) amat mementingkan prinsip mencari yang berkualiti, bukan sekadar menjual rupa semata-mata.

Menjadi antara program yang paling mendapat perhatian penonton sejak diwujudkan pada 1959, program pencarian bakat yang awalnya dikenali sebagai Bintang Radio ini sekali lagi mewarnai kaca televisyen selepas hampir empat tahun direhatkan.

Menurut penerbit program, Haliza Mat Kharsa, tahun ini RTM mengesan bakat 14 peserta baharu berdasarkan uji bakat sebagai calon untuk bergelar juara.

“Bintang RTM telah banyak melahirkan produk-produk yang berjaya melakar kejayaan sebagai penyanyi yang memiliki vokal terbaik dan berkualiti antaranya Allahyarham Datuk Sudirman Hj. Arshad, Datuk Jamal Abdillah, Ramlah Ram dan Azharina Azhar.

“Kesemua peserta tampil dengan vokal yang berkualiti dan itu yang kita mahu kekalkan dalam pencarian legasi seterusnya pada tahun ini,” katanya.

Menurut Haliza, peserta yang bakal berentap untuk Bintang RTM tahun ini melalui uji bakat di enam zon iaitu di Johor Bharu, Sarawak, Pahang, Sabah, Pulau Pinang dan di Kuala Lumpur sekitar November dan Disember lalu.

“Sepanjang sesi ujibakat dijalankan, ramai yang tampil mencuba nasib yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat membuktikan Bintang RTM masih mempunyai pengikut tersendiri dan mendapat sokongan kuat daripada penonton setianya,” tambah Haliza.

Bersiaran secara langsung pada pukul 9 malam di TV2 bermula 30 Januari, setiap minggu tampil dengan tema berbeza.

“Konsert mingguan akan berlaku penyingkiran dan setiap peserta akan dinilai oleh dua juri tetap dan seorang juri jemputan.

“Yang pasti, program ini masih mengekalkan penjurian berdasarkan juri tetap. Penonton boleh berinteraksi melalui media sosial untuk menunjukkan sokongan menerusi Facebook, Twitter dan Instagram,” katanya.

Dalam pada itu, kata Haliza, Bintang RTM 2016 juga akan dihiasi dengan kehadiran dua pengacara hebat, Muaz Mohamed yang bergandingan dengan pelakon Amyra Rosli sebagai antara pembaharuan yang dilakukan untuk program kali ini.

Tidak cuma itu, peserta juga akan mendapat pendedahan ilmu muzik dan vokal daripada tenaga pengajar yang juga lahir daripada program yang sama iaitu Dia Fadila dan pengarah muzik Man Felda.

Berikut ialah 14 peserta yang bakal bersaing merebut gelaran juara Bintang RTM 2016.

Mereka ialah Idris Zulkifli, 19, (Perak), Mohd Farhan Mohd Mustafa, 19, (Pahang), Muhammad Alif Mustafa, 22, (Kuala Lumpur), Mohamad Azizol Alias, 23, (Terengganu), Muhammad Farid Mohd Nor, 23, (Terengganu), Muhammad Hafiz Ismail, 23, (Kelantan) dan Muhammad Adib Ibrahim, 24, (Pulau Pinang).

Turut terpilih ialah Nor Fazrina Mohd Gani, 23, (Selangor), Nur Shafreeza Zainal Abidin, 22, (Selangor), Nur Hijrah Yahya, 24, (Sarawak), Puteri Wannur Nabila Ramli, 18, (Pahang), Chee Ka Yee, 22, (Selangor), Syakirah Edora Janali, 22, (Johor) dan Rosario Ninih Chamini Bianis, 21, (Sabah).

 

Sumber Rujukan: http://www.utusan.com.my

Print Email

offcanvas