Saiz Teks

A- A A+

Pilihan Warna

A A

settings

A- A A+
A A

Newspaper Cutting

Bernama: Final Masters Malaysia Harus Jadi Dorongan Buat Iskandar

Last modified on .

 

KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) -- Juara kebangsaan, Iskandar Zulkarnain Zainuddin perlu menjadikan kejayaan mara ke final kejohanan badminton Masters Malaysia baru-baru ini sebagai dorongan untuk terus melakar kejayaan.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata Iskandar wajar berusaha lebih gigih mempertingkatkan prestasinya agar mampu meletakkan dirinya sebaris dengan pemain terbaik dunia.

"Memandangkan umur beliau masih muda, Iskandar mempunyai peluang untuk mempertingkatkan prestasi dan memberikan saingan yang lebih baik kepada pemain senior yang lain...bukan sahaja dalam negara tetapi juga peringkat antarabangsa," katanya.

Menurutnya, Iskandar yang akan genap berusia 25 tahun pada 24 Mei ini, perlu lebih kompetitif untuk menjadi pemain bertaraf dunia.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menerima penajaan untuk Karnival Sukan MSN-Media kelapan di Casa 1, MSN Bukit Jalil hari ini.

Menyentuh mengenai keputusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menghantar barisan muda ke Kejohanan Berpasukan Asia (BATC) di Hyderabad, India pada 15 hingga 21 Feb depan, Ahmad Shapawi berkata keputusan itu lebih kepada rancangan jangka panjang BAM sendiri.

BATC turut dijadikan sebagai pusingan kelayakan ke Piala Thomas, yang dijadualkan pada 15 hingga 22 Mei di Kunshan, China.

"Kita harap keputusan yang dibuat itu akan membuahkan hasil...saya yakin pemain muda kita akan mendapat pengalaman bertanding di peringkat yang lebih kompetitif seperti itu," katanya.

Sementara itu, bagi Sukan Media-MSN yang bermula 23 Jan lepas dan tamat 31 Jan ini, lebih 120 wartawan dan jurugambar sukan tanah air sekali lagi akan berkumpul dalam karnival yang memasuki edisi kelapan tahun ini.

Karnival sukan itu berlangsung di tiga gelanggang iaitu Kompleks Sukan MSN Setiawangsa (badminton), Wangsa Bowl, IOI City Mall, Putrajaya (tenpin boling) manakala bola sepak dilangsungkan di Padang Astroturf MSN, Bukit Jalil.

Pasukan yang bertanding ialah Bernama, RTM, TV3, Sinar Harian, Harian Metro, Malay Mail, Berita Harian, Astro Arena, Utusan Malaysia, Kosmo, MSN, Pejabat Menteri, Asiana.MY, Persatuan Jurufoto Media Malaysia (MPPA) dan majalah FourFourTwo.

-- BERNAMA

Print Email

offcanvas