Saiz Teks

A- A A+

Pilihan Warna

A A

settings

A- A A+
A A

Newspaper Cutting

Bernama: Pengubahsuaian Bajet 2016 Langkah Proaktif Dan Telus

Last modified on .

 

 

KUALA LUMPUR, 1 Feb (Bernama) - Pengubahsuaian Bajet 2016 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada minggu lepas, merupakan langkah yang proaktif dan telus.

Ketua Seksyen, Bahagian Fiskal dan Ekonomi, Kementerian Kewangan, Mohd Hassan Ahmad berkata dengan keadaan ekonomi global yang tidak menentu, ditambah dengan harga minyak yang jatuh, kerajaan telus memaklumkan kepada rakyat apa yang sedang berlaku dan langkah yang diambil adalah bagi memastikan ekonomi terus berkembang.

Bercakap ketika ditemu bual RTM1 untuk rancangan Selamat Pagi Malaysia, Mohd Hassan menjelaskan Malaysia bukanlah dalam kedudukan krisis atau kemelesetan tetapi langkah proaktif perlu dalam mengekalkan perkembangan ekonomi negara.

"Ekonomi kita masih berkembang pada 4.0 hingga 4.5 peratus. Kerajaan perlu memastikan kedudukan terus kukuh. Secara peribadi, bagi saya kita menyediakan payung sebelum hujan," kata Hassan.

Tambahnya lagi, kerajaan dan Kementerian Kewangan sentiasa memantau kedudukan ekonomi dan akan membuat pengubahsuaian mengikut keperluan.

"Kalau kita melihat semua cabaran ini, (ia adalah) di luar kawalan kita. Malaysia adalah sebuah negara perdagangan yang kecil dan bergantung kepada perkembangan luaran.

"Disebabkan itu, kerajaan akan memastikan aktiviti dalam negeri perlu dipergiatkan," katanya.

Demikian juga jika harga minyak naik kembali melebihi US$40 setong, negara akan mempunyai lebihan pendapatan yang akan digunakan untuk kesejahteraan rakyat, kata Hassan.

Beliau turut menjelaskan, langkah yang tidak populis, seperti pengurangan perbelanjaan kementerian yang bukanlah bererti memotong aktiviti kementerian sedia ada, tetapi skala perbelanjaan operasi dan ketirisan dikurangkan untuk mendapat lebih kecekapan tanpa menjejaskan sistem penyampaian awam.

Katanya Kementerian Kewangan telah berbincang dengan semua kementerian sebelum mengambil pendekatan tersebut dan pemotongan yang secara purata sebanyak dua hingga lima peratus itu tidak menjejaskan gaji dan elaun penjawat awam.

Mengenai pemotongan caruman KWSP pula, Hassan berkata ia adalah secara sukarela bagi membantu meringankan beban rakyat yang memerlukan.

"Walaupun mengambil simpanan waktu hadapan, pilihan ini penting untuk rakyat yang perlu membeli suatu yang mustahak, contohnya susu anak.

"Tempoh yang diberikan juga adalah sehingga 31 Dis 2017, selepas itu caruman akan automatik kepada 11 peratus. Selain itu, pencarum mempunyai pilihan untuk kekal atau mengurangkan sebanyak 3.0 peratus," kata Hassan.

Kata beliau lagi, caruman pekerja dan majikan pada masa ini adalah 23 peratus, dan sekiranya dikurangkan tiga peratus, ia masih lagi pada tahap mapan iaitu 20 peratus.

Dalam temu bual tersebut, Hassan turut memberitahu bahawa kerajaan juga menyarankan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan agar merapatkan jurang pendapatan antara pekerja dan pengurusan, meningkatkan produktiviti, selain menjelaskan bantuan lain yang disediakan oleh kerajaan kepada rakyat.

-- BERNAMA

Print Email

offcanvas