Saiz Teks

A- A A+

Pilihan Warna

A A

settings

A- A A+
A A

Newspaper Cutting

Bernama: Ubahsuai Bajet Jika Harga Minyak Bawah US$25 Setong - Husni

Last modified on .

 

 


KUALA LUMPUR, 2 Feb (Bernama) -- Kerajaan mungkin akan melakukan pengubahsuaian semula bajet 2016 sekiranya harga minyak mentah dunia turun di bawah paras US$25 setong.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata kerajaan tidak boleh 'menipu diri sendiri' dan harus sentiasa realistik dalam menentukan perbelanjaan negara.

Beliau berkata demikian dalam rancangan Dialog Khas Pengubahsuaian Bajet 2016 yang disiarkan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) di sini, malam ini.

Pengubahsuaian Bajet 2016 yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini mengambil andaian paras minyak mentah dunia sekitar US$30-US$35 setong.

Bagaimanapun Husni berkata kemungkinan untuk harga minyak dunia jatuh terlalu rendah adalah amat mustahil kerana negara-negara pengeluar utama minyak mentah dunia tidak akan membiarkan keadaan ini yang boleh menjejaskan ekonomi mereka.

"Untuk harga minyak dunia jatuh sehingga US$5 setong (contohnya) adalah mustahil kerana sebagai (negara) pengeluar minyak, mereka pasti mahu menjaga kewangan negara mereka.

"Sekiranya mereka membiarkan harga minyak terus jatuh, ia akan mengakibatkan kesan-kesan negatif kepada ekonomi mereka. Saya percaya mereka akan mengambil tindakan (untuk menaikkan semula harga minyak)," katanya.

Mengenai semakan semula unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) tahun ini kepada 4.0-4.5 peratus, Husni berkata, ia adalah realistik berdasarkan kepada keadaan ekonomi semasa dan harga minyak mentah dunia.

Selain itu ia juga hampir sama dengan unjuran yang dibuat oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada 4.4 peratus, katanya.

"Apabila kita melihat daripada dua konteks tersebut (unjuran kerajaan dan IMF), bermakna logik kepada pertumbuhan 4.0-4.5 peratus itu masih ada.

"Jika kita lihat (pada tahun-tahun sebelumnya), IMF membuat unjuran (KDNK) negara kita lebih rendah berbanding unjuran kita, namun kita berjaya mencapai unjuran yang kita tetapkan, bermakna kepakaran kita membuat unjuran itu adalah tinggi," katanya.

-- BERNAMA

Print Email

offcanvas