Saya terus bertanya, dulu selaku penerbit JS Pictures Sdn. Bhd., Sheila jarang turun padang dan kenapa sekarang turut serta?

Katanya, sejak kebelakangan ini, dia tidak lagi meletakkan semua tanggungjawab menerbitkan drama ke atas bahu Jinggo yang juga pengarah itu, kerana sekarang JS Pictures sedang menjalani dua penggambaran drama serentak.

“Dah lama juga saya sering menemani Jinggo di lokasi, bukan apa kalau ada dua orang yang memerhati skrin dapatlah kesan apa yang kurang. Kadang-kadang dia tidak perasan, jadi saya pun membantu. Bukan apa, selain membantu Jinggo, saya juga uruskan soal kewangan. Banyak kerja yang perlu dilakukan.

“Tambahan sekarang ini, JS Pictures sedang buat penggambaran dua drama, Ahli Mesyuarat Tingkap untuk slot Iris di TV3, dan Satu Cinta untuk RTM. Untuk Satu Cinta, saya minta Jamal Khan yang arah dan ini merupakan kali pertama pengarah luar mengarah untuk JS Pictures,” katanya yang tampil santai di set penggambaran.

Kata Sheila, Ahli Mesyuarat Tingkap yang skripnya dihasilkan oleh Sofia J.Rhyland itu menampilkan Rita Rudiani sebagai Zai, Izreen Azminda (Juliana) dan Sherry Al-Hadad sebagai Ira.

Drama 20 episod yang bakal bersiaran pada 22 Mac ini menampilkan genre komedi berkisar tentang isu semasa. Antara isu yang diketengahkan adalah artis dan tudung serta penggunaan media sosial.

“Dalam setiap episod, isu yang diketengahkan berbeza dan ramai juga pelakon undangan, antaranya Mia Ahmad, Lufya Omar, Fizz Fairuz dan Syahrul Ridzwan. Biarpun disampaikan secara komedi, ia tetap ada mesej kerana isu yang diketengahkan berlaku dalam kehidupan seharian kita.

“Mengapa saya pilih Rita, Izreen dan Sherry? Mereka ini pernah berlakon dalam drama-drama terbitan JS Pictures dan saya tahu cara mereka bekerja. Apabila digandingkan bertiga, mereka dapat membawa watak masing-masing dengan baik kerana setiap orang karakternya berbeza,” kata Sheila lagi.

Ditanya kenapa dia tidak turut serta dalam drama yang menjalani penggambaran di sekitar Kota Damansara dan Subang Jaya itu? Kata Sheila, biarlah orang lain berlakon kerana dia lebih senang bekerja di belakang tabir.

“Drama terakhir lakonan saya ialah Syurga Nur yang disiarkan pada tahun lepas. Bukan saya dah berhenti berlakon. Saya masih berlakon, cuma bergantung kepada watak. Kalau ada watak yang saya belum pernah bawa sepertimana dalam Syurga Nur menjadi ibu dan isteri yang menghidap barah, sudah pasti saya tidak menolak.

“Biarlah dulu, kalau sering muncul dalam drama terbitan sendiri, nanti orang kata macam tak ada pelakon lain pula. Bagi saya kalau ada watak yang belum pernah bawa, barulah saya terima. Kalau tidak berlakon, itulah kerja saya iaitu di belakang tabir. Kerja begini pun berat sebab banyak benda nak kena fikir,” luahnya.

Rehat masa Ramadan

Sebaik sahaja selesai Ahli Mesyuarat Tingkap, Sheila akan tumpu perhatian pada program Ketuk-Ketuk Ramadan yang sudah memasuki 13 tahun tayangan di kaca televisyen itu.

“Alhamdulillah sejak tiga tahun lalu, program Ketuk-Ketuk Ramadan dibuat dengan kerjasama pihak Tesco Malaysia. Jadi lokasinya biasalah di Tesco di seluruh Semenanjung. Saya sendiri tidak jangka, Ketuk-Ketuk Ramadan boleh bertahan begitu lama dan setiap kali buat mesti 30 episod kerana program itu disiarkan sepanjang bulan Ramadan.

“Memandangkan program ini sudah lama, jadi setiap tahun saya perlu mencari kelainan agar orang tidak bosan menonton. Jika awal-awal dulu, sasaran kita untuk suri rumah sekarang ini saya cuba untuk tarik perhatian golongan muda. Jadi para pelakon yang hangat pada tahun lalu, adalah di antara tetamu yang akan menjayakan Ketuk-Ketuk Ramadan untuk siaran kali ini,” kata Sheila lagi.

Selain menampilkan artis-artis top, program ini juga turut berkongsi tip tentang masakan. Jelas Sheila, dia sentiasa cuba menyediakan resipi yang boleh diikuti oleh semua orang.

“Sebenarnya saya terkejut kerana ada kanak-kanak yang menegur saya dengan memanggil Ketuk-Ketuk Ramadan. Itu tandanya mereka juga menonton. Jadi saya akan cuba tampilkan resipi yang mudah dan boleh dimasak oleh orang muda juga,” kata Sheila, mengulas lanjut.

Selepas menyiapkan program Ketuk-Ketuk Ramadan, seperti biasa apabila menjelang bulan puasa, dia akan berehat. Kali ini, Sheila mengambil keputusan untuk melakukan ibadah umrah pada awal bulan puasa.

“Sekarang ini saya memang kerja tanpa henti kerana menjelang bulan puasa, saya akan berehat. Waktu itulah saya cadang pergi umrah bersama suami dan dua orang kakitangan JS Pictures yang sudah lama berkhidmat sebagai tanda penghargaan untuk mereka,” jelas Sheila lagi.