Sejak itu kemunculannya sering menjadi perhatian terutamanya pada pukul 6 petang dan 8 malam bagi segmen Berita Perdana dan 10 malam bagi Dunia Jam 10 di stesen Rangkaian Televisyen Malaysia (RTM), apatah lagi beliau merupakan satu-satunya pembaca berketurunan Sikh fasih berbahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Harjit Singh Hullon, 62, merupakan penyampai berita veteran di RTM. Kredibiliti beliau dalam dunia penyiaran tiada siap mampu menidakkannya apabila pada tahun 2011 diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai penyampai 
berita paling lama berkhidmat, iaitu selama 38 tahun (ketika itu) di rangkaian televisyen yang sama.

Siapa sangka, anak muda yang suatu ketika pernah berhasrat menyambung pengajian dalam bidang perubatan di India untuk bergelar doktor, akhirnya menamatkan perjalanan kariernya dalam bidang penyiaran dan semalam, 3 Mac 2016, genap 43 tahun Harjit bergelar pembaca berita.

Empat puluh tiga tahun bukanlah satu tempoh yang mudah untuk bertahan dalam bidang penyiaran, namun kerana cinta dan minat yang amat mendalam, Harjit meneruskan kerjayanya sehingga ke saat ini walaupun telah bersara wajib ketika berusia 58 tahun.

Menganggap kerjaya sebagai penyampai berita adalah satu-satu wadah mendekati masyarakat, beliau meletakkan minat dan tanggungjawabnya itu di tempat paling atas. Bahkan, tidak ramai yang tahu beliau pernah membaca berita selama 12 tahun tanpa bayaran.

Ketika ditanya, bekas pelajar Sekolah Victoria Institution (Sekolah VI) itu berkata, ketika rakan-rakan lain mengejar jawatan tinggi, beliau pula sangat menginginkan suaranya ke udara di radio mahu pun televisyen.

“Sejak usia 18 tahun lagi, saya bercita-cita mahu dengar suara sendiri di radio dan bernasib baik apabila dipilih selepas menyertai uji bakat di salah sebuah stesen radio RTM. Ketika itu saya diberi peluang mengendalikan program Irama Pagi, Pagi Khamis di Rangkaian Biru dalam bahasa Melayu walaupun stesen itu adalah rangkaian radio bahasa Inggeris.

“Setiap hari saya perlu keluar rumah pukul 4.30 pagi kerana rancangan itu bermula pukul 6 pagi hingga 9 pagi. Saya perlu sampai awal untuk membuat persiapan rekod lagu selama dua jam kerana juruhebah dahulu tidak menggunakan sistem komputer seperti sekarang.

“Pertama kali dengar suara di radio saya sungguh teruja dan sedap juga rupanya suara saya ini. Daripada situ, saya rasa bersemangat dan bercita-cita mahu keluar di televisyen pula,” katanya ketika ditemui di kediamannya yang terletak di Subang Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Kerjaya Harjit yang bermula sebagai penyampai radio tidak hanya berakhir di konti apabila selepas setahun mencari pengalaman sebagai juruhebah, beliau melangkah ke dunia penyiaran televisyen.

Tanggal 3 Mac 1973, buat pertama kali beliau diberi peluang muncul di kaca televisyen sebagai pembaca berita TV1 yang merupakan satu-satunya stesen televisyen beroperasi ketika itu.

Ketika ditanya apakah perasaan beliau muncul buat pertama kali di televisyen, ujar Harjit, saat itu sangat mendebarkan, namun memikirkan punya tanggungjawab untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat, beliau kembali bersemangat berdepan dengan kamera.

“Saya masih ingat, kali pertama saya membaca berita pada pukul 11.30 malam di TV1 dan ketika itu saya memakai baju batik. Waktu itu siaran televisyen masih hitam putih. Saya tidak mungkin akan lupa pengalaman kali pertama itu dan sehingga kini saya masih seronok memikirkan saat itu,” katanya.

Bermula detik itu, Harjit mula dikenali penonton dek kerana penampilannya yang berserban selain kepetahannya yang mampu membaca berita dalam dwi bahasa, menjadikan beliau popular hanya dalam tempoh lima tahun selepas bersiaran di RTM.

Harjit kemudian diberi tanggungjawab lebih tinggi apabila mendapat ruang membaca berita pada waktu perdana iaitu pukul 8 malam dan 6 petang. Malah, ketika RTM bersiaran langsung bersama penduduk di Sabah dan Sarawak, beliau merupakan pembaca berita pertama yang diberi peluang beraksi.

“Sayang saya pada dunia penyiaran begitu menebal, malah sedikit pun tidak menyesal melupakan bidang perubatan kerana saya dapat mencapai apa yang saya inginkan. Saya dapat lebih daripada apa yang saya jangka,” jelas beliau.

Pengalaman 
dan prinsip kejayaan

Mengakui tidak mudah untuk kekal bertahan dalam dunia penyiaran, Harjit menitipkan ingatan buat generasi baharu agar memegang empat prinsip penting, iaitu minat, komitmen, disiplin dan dedikasi.

Katanya, keempat-empat prinsip ini perlu ada dalam diri anak muda yang mahu menyerlah dalam kerjaya mereka, selain merupakan aspek penting untuk mengharungi cabaran yang bakal mereka hadapi.

“Setiap kerjaya ada cabaran. Saya juga saya pernah melalui pelbagai cabaran, namun saya melaluinya dengan baik kerana terlalu minat dalam bidang ini. Lagi pun, saya mempunyai keluarga yang memahami kerjaya yang memerlukan saya bertugas sepanjang hari, keluar pagi dan balik malam, meninggalkan keluarga untuk tugasan di luar negara dan sebagainya,” katanya.

Bercakap soal pengalaman pula, Harjit mengakui terlalu banyak pengalaman manis ketika berkhidmat sebagai wartawan dan pembaca berita di RTM. Antaranya, berpeluang membuat liputan dokumentari tentang perjalanan kehidupan Almarhum Sultan Perak, Sultan Azlan Shah serta tragedi Highland Tower suatu ketika dahulu.

“Selepas 12 tahun bekerja, saya diberi peluang ke London untuk membuat satu dokumentari khas tentang Sultan Perak di mana saya berpeluang menemui rakan-rakan dan bekas tenaga pengajar Sultan Azlan Shah di Universiti Nottingham. Pengalaman itu sungguh menyeronokkan dan saya tidak mungkin lupa kerana diberi tugas yang besar.

“Selain itu, berpeluang berkampung selama dua minggu di lokasi kejadian Highland Tower tumbang merupakan pengalaman yang paling mengujakan apabila dapat menjadi orang pertama memperoleh maklumat dan menyampaikan kepada penonton.

“Ketika itu, saya perlu bersiaran setiap satu jam secara langsung dan perlu menyampaikan berita dalam dua bahasa,” jelasnya yang pernah memenangi Anugerah Khas Kementerian Penerangan pada majlis Anugerah Angkasapuri 2006.

Ketika ditanya adakah pernah membuat kesilapan ketika menyampaikan berita, beliau mengakui amat bertuah kerana selama 43 tahun menjadi penyampai berita, tidak pernah membuat kesilapan membaca fakta sehingga menjejaskan keseluruhan berita.

“Kesilapan kecil seperti tersalah sebutan mungkin ada tetapi kesilapan besar sehingga terpaksa memohon maaf belum pernah saya lakukan sehingga sekarang.

“Begitu pun, saya pernah tersungkur hanya beberapa saat sebelum ke udara di televisyen ketika mahu menyampaikan berita di Parlimen.

“Kejadian itu berlaku kerana saya mendapat panggilan daripada penerbit bahawa berita perlu disiarkan awal. Kebetulan ketika itu lantai licin dan saya tersungkur ketika berlari ke studio.

“Gara-gara kejadian itu, siaran senyap hampir 30 saat kerana saya terpaksa mencuri nafas, malah ketika menyampaikan berita saya masih termengah-mengah di depan kamera tetapi apa boleh buat,” ujarnya sambil ketawa. - Gambar FAIRUZ IZYANA AYUB

Karier berakhir pertengahan tahun ini

Nama-nama seperti Ramli Abu Bakar, Yunus Abu, Zainal Fitri, Hashim Embi, Kamaruddin Ahmad, Wan Chik Daud, Siti Fatimah Nor dan Salasiah Zakaria merupakan antara pembaca berita RTM yang pernah popular dan mempunyai kelasnya tersendiri bersama Harjit, namun masing-masing telah menamatkan kerjaya sejak sekian lama.

Berbeza pula bagi Harjit apabila dunia penyiaran terlalu sebati dalam jiwanya sehinggakan niat untuk meninggalkan bidang tersebut sering kali tertangguh biarpun kini berkhidmat sebagai kakitangan kontrak.

Namun, seluruh peminat ikon pembaca berita RTM itu, bakal kehilangan pembaca berita versatil di stesen berkenaan pada pertengahan tahun ini apabila beliau bakal bersara sepenuhnya kerana mahu memberi tumpuan kepada keluarga.

Jelas suami kepada Sabinder Kaur, 62, dan bapa kepada Dr. Rajinderjit S. Hullon, 33, dan Melvinderjit S. Hullon, 30, sudah tiba masanya beliau mengundurkan diri selepas 43 tahun berkecimpung dalam bidang itu.

Beliau menjangkakan kariernya bakal berakhir pada pertengahan tahun ini dan keputusan yang dibuat adalah muktamad, malah berpuas hati dengan keputusan untuk mengakhiri kariernya.

“Saya sudah lama berkira-kira mahu berhenti menjadi pembaca berita, namun kerana memikirkan masih tiada pengganti, saya gagahi juga.

“Saya berpendapat, saya perlu meninggalkan bidang ini dan mungkin dengan cara ini pasti ada pengganti baharu yang bakal menyerlah.

“Berilah peluang kepada pembaca-pembaca baharu dan saya bersedia berkongsi segala ilmu dan pengalaman jika ada golongan muda yang berminat terutama daripada kaum Sikh,” ujarnya yang pernah memberi latihan menyampaikan hebahan secara betul kepada kakitangan Malaysia Airport selama 15 tahun.

Mengakhiri perbualan, Harjit yang mengaku sangat meminati rancangan Dunia Jam 10, rancangan yang turut menaikkan nama beliau sebagai pembaca berita, berharap masyarakat tidak mengabaikan tontonan berita di televisyen sebagai wadah penyampaian berita paling tepat berbanding media sosial yang belum tentu kesahihannya.

“Dunia Jam 10 adalah segmen paling saya gemari kerana untuk membaca di segmen ini memerlukan suara yang bukan semua pembaca berita ada, sebab itu pembacanya masih sama sehingga kini.

“Nada suara yang jelas dan sedikit tegas diperlukan untuk mendapatkan intonasi yang sesuai dengan berita yang disampaikan.

“Segmen tersebut mengumpulkan berita-berita seluruh dunia dan masyarakat perlu tahu apa yang berlaku di negara luar. Hanya melalui saluran yang sah mereka akan mendapat maklumat yang tepat tanpa ditokok tambah,” katanya.