Penolong Naib Canselor Keusahawanan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Dr. Razmi Chik berkata, daripada 270,000 itu pula, 90 peratus daripadanya adalah pada tahap mikro.

“Ini membuktikan betapa rendahnya penyertaan kaum bumiputera dalam perniagaan di negara ini dan satu usaha berterusan melibatkan semua pihak perlu ada,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam program Advokasi Ilmuan bertajuk Keusahawanan di Malaysia: Adakah Mencukupi? anjuran Majlis Profesor Negara (MPN) dengan kerjasama Utusan Malaysia, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan UiTM di sini, hari ini.

Program yang dihoskan oleh Penolong Ketua Pengarang 1 Kumpulan Utusan, Datuk Zaini Hassan itu menampilkan tiga panel iaitu Razmi, Naib Canselor (Akademi dan Antarabangsa) UiTM, Profesor Ir. Dr. Suhaimi Abdul Talib dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), Ashran Ghazi.

Sementara itu Suhaimi berkata, industri hiliran berasaskan perkhidmatan antara bidang yang sesuai untuk diceburi oleh belia bumiputera.

Katanya, ini kerana, bidang tersebut tidak memerlukan modal yang banyak tetapi memberi kesan tinggi dan boleh dilaksanakan dengan segera.

“Antaranya perniagaan berasaskan makanan dan hospitaliti yang tidak melibatkan pengeluaran produk serta memerlukan modal besar,” katanya.

Menurutnya, sasaran ekuiti bumiputera sebanyak 30 peratus masih jauh untuk dicapai dan antara kaedah serta pendekatan yang boleh diambil ialah melalui bidang keusahawanan.

“Penglibatan bumiputera dalam sektor perniagaan penting untuk memastikan kesaksamaan pembahagian kekayaan negara sekali gus mencapai sasaran pemilikan ekuiti bumiputera sebanyak 30 peratus,” katanya. - UTUSAN ONLINE