Naib Canselor (Akademi dan Antarabangsa) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Ir. Dr. Suhaimi Abdul Talib berkata, bidang tersebut adalah sesuai kerana tidak memerlukan modal yang banyak tetapi memberi kesan tinggi dan boleh dilaksanakan dengan segera.

Menurutnya, sasaran ekuiti bu­miputera sebanyak 30 peratus masih jauh untuk dicapai dan antara kaedah serta pendekatan yang boleh diambil ialah melalui bidang keusahawanan.

“Penglibatan bumiputera dalam sektor perniagaan penting untuk memastikan kesaksamaan pembahagian kekayaan negara sekali gus mencapai sasaran pemilikan ekuiti bumiputera sebanyak 30 peratus.

“Bidang ini amat sesuai antaranya perniagaan berasaskan makanan dan hospitaliti yang tidak melibatkan pengeluaran produk yang memerlukan modal besar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Advokasi Ilmuwan bertajuk Keusahawanan di Malaysia: Adakah Mencukupi? anjuran Majlis Profesor Negara (MPN) de­ngan kerjasama Utusan Malaysia, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan UiTM di sini, hari ini.

Program yang dihoskan oleh Penolong Ketua Pengarang 1 Kum­pulan Utusan, Datuk Zaini Hassan itu menampilkan tiga panel iaitu Suhaimi; Penolong Naib Canselor Keusahawanan UiTM, Prof. Dr. Raz­mi Chik dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (Magic), Ashran Ghazi.

Suhaimi dalam pada itu me­nya­rankan semua agensi kerajaan berkaitan menjalin kerjasama dalam usaha meningkatkan penglibatan dan membantu usahawan bumiputera.

“Kita tidak boleh harapkan universiti sahaja kerana kerajaan dalam 10 tahun kebelakangan ini turut banyak memberi suntikan dana kepada politeknik dan kolej komuniti.

“Kerajaan juga mempunyai pelbagai agensi untuk melahirkan dan membantu usahawan bumiputera, cuma masalahnya kini kurang kerjasama antara agensi itu dan keba­nyakannya bergerak sendiri,” jelasnya.

Sementara itu, Razmi memberitahu, daripada sejuta syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 2009, hanya 270,000 dimiliki oleh bumiputera.

“Daripada jumlah 270,000 itu pula, 90 peratus daripadanya adalah pada tahap mikro.

“Ini membuktikan betapa rendahnya penyertaan kaum bumiputera dalam perniagaan di negara ini dan satu usaha berterusan melibatkan semua pihak perlu dilakukan,” ujarnya.