Noor Afzaliza bercita-cita menjadi seorang pengacara satu hari nanti

Dia yang kini melanjutkan pengajian peringkat Sarjana dalam jurusan Komunikasi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor melakukan kerja sampingan seperti penyampai radio dan pengacara program di stesen radio Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada hujung minggu.

“Saya mula minat bidang ini sejak di peringkat universiti lagi, kerja sampingan yang saya lakukan ini berbaloi dengan minat dan pengalaman yang ada.

“Keluarga banyak menyokong minat saya dan selepas tamat pengajian saya akan memohon beberapa stesen televisyen untuk menjadi pengacara sambilan,” katanya ketika dihubungi s2.

Lebih mesra dipanggil Afza, yang merupakan anak bongsu daripada tiga adik beradik itu gemar membaca buku bagi mengisi masa lapang serta suka mengemas rumah kerana menyukai kediaman yang selesa dan bersih.

“Saya seorang yang gemarkan suasana bersih dan akan pastikan rumah berada dalam keadaan selesa dan tidak kotor,” katanya.

Afza yang akan menamatkan pengajian tahun depan turut menasihatkan golongan remaja agar tidak terpengaruh dengan media sosial sehingga mengabaikan keluarga.

“Saya suka meluangkan masa bersama keluarga jika saya tidak menghadiri sebarang kelas di hujung minggu.

“Saya berharap mereka dapat menggunakan media sosial dengan berguna dan tidak ke arah yang tidak bertanggungjawab. Jangan terlalu taksub dengan pelbagai perkara yang tidak masuk akal terutama kepada golongan mahasiswa,” katanya.