Begitu juga dengan Halim Othman, 51, Nur Jaziedah Zulkefli, 28, dan Frisca Freddy, 25, yang bertindak sebagai pengacara Sukan Olimpik 2016 di Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Sebagai muka baharu dan kali pertama mengendalikan acara sukan besar ini, peranan mereka penting menjadi pengantara buat penonton sepanjang 16 hari acara sukan berlangsung di Rio de Janeiro, Brazil.

Persediaan rapi dilakukan sebelum temasya sukan bermula pada 5 Ogos hingga 22 Ogos ini. Masing-masing juga mempunyai tanggungjawab tersendiri kerana Sukan Olimpik 2016 turut bersiaran di empat saluran RTM iaitu TV1, TV2, TVi dan dalam talian secara tidak henti-henti.

Cabaran Halim

BUAT peminat sukan tegar seperti Halim Othman, bidang berkenaan bukan satu masalah besar buatnya untuk menjadi pengacara dengan baik. Pengalaman mengacara program Sukan Planet di TV1 sebelum ini banyak memberi input kepada dirinya untuk memastikan penyampaiannya lebih sempurna.

Menjadikan Datuk Rahim Razali yang arif dalam selok belok dunia pengacaraan sukan sebagai idola, Halim juga percaya kemampuannya untuk memberi maklumat terkini Sukan Olimpik 2016 buat penonton RTM.

Cuma cabaran utamanya untuk membahagikan waktu rehat tambahan pula kini Halim bertugas mengendalikan program Ceria Pagi @ Suria FM bersama-sama Zulin Aziz dan Fizi.

Komitmen masa itu yang menyebabkan Halim perlu memastikan dirinya sentiasa bertenaga dan bersemangat ketika tempoh muncul di kaca televisyen.

“Memang tidak dinafikan bahawa setiap kali kemunculan temasya sukan yang besar atau ada liga bola sepak bertaraf dunia, setiap peminat sukan tidak akan cukup tidur.

“Mereka sanggup bangun awal pagi untuk menyaksikan acara-acara sukan yang diminati. Dalam hal ini, saya juga tidak terkecuali. Tak cukup rehat bukan satu masalah besar buat saya kerana paling penting adalah peluang untuk terlibat dalam temasya sukan sebegini yang jarang diperoleh.

“Saya tidak akan melepaskan kerana pembabitan saya itu pasti menjadi kenangan terindah buat diri sepanjang hidup saya,” cerita Halim.

Bersedia untuk membuat perubahan jadual hariannya, Halim yang memulakan kerjanya seawal pukul 6 pagi itu akan melakukan ‘maraton’ sempena kedatangan Sukan Olimpik 2016.

Ini kerana selepas tamat tugas di konti Suria FM, Halim akan bergegas ke Angkasapuri, Kuala Lumpur untuk melaksanakan tugasnya sebagai pengacara pula.

Halim tidak mahu melepaskan peluang untuk berkongsi maklumat terkini tentang perkembangan sukan berkenaan bersama-sama rakan setugas yang lain.

“Saat-saat yang paling saya mendambakan adalah menjadi pengacara paling awal yang mengumumkan emas pertama buat negara.

“Momen itu yang menjadi idaman saya kerana sudah pastilah kita akan diingati semua peminat sukan negara untuk sama-sama berkongsi kegembiraan dengan seluruh rakyat Malaysia.

“Moga-moga impian saya ini menjadi kenyataan. Saya yakin juga impian emas ini menjadi igauan buat seluruh pengacara yang terlibat dalam temasya sukan ini,” katanya yang bertindak sebagai pengacara Sukan Olimpik 2016 di TV1.

Cerita Nur Jaziedah

NUR Jaziedah Zulkefli yang lebih mesra dengan panggilan Jedd ini mengakui berdepan dengan sedikit kecelaruan dalam diri selepas bergelar Juara Ikon Siarawan 2016 awal Mei lalu.

Bertugas di Unit Hiburan RTM membuatkan Jedd berdepan dengan masalah untuk menyesuaikan diri kerana masih mencari pengkhususan bidang yang diminati.

Tidak puas bertindak sebagai pengacara di Interzon di TV2 setiap Sabtu itu juga membuatkan dia sentiasa mengintai peluang lebih besar di stesen penyiaran tersebut.

Perasaan gusar itu hilang selepas dia berpeluang untuk menjadi pengacara Sukan Malaysia yang berlangsung di Sarawak yang berakhir baru-baru ini.

“Jangan salah sangka perkongsian saya ini. Sebagai orang baharu, saya cuma menginginkan perjalanan kerjaya pengacaraan saya ada perkembangan tersendiri selepas kemenangan tersebut.

“Alhamdulillah segala impian saya menjadi kenyataan. Saya bersyukur kerana melepasi sesi uji bakat untuk menjadi pengacara Sukma sebelum ini.

“Bertitik tolak dari situ, saya berazam untuk mengatasi sebarang kesukaran sepanjang bertugas dalam bidang sukan. Lebih-lebih lagi apabila berpeluang menjadi pengacara Sukan Olimpik 2016.

“Sudah pastilah saya tidak akan mensia-siakan peluang ini. Itu janji saya,” kata graduan kewartawanan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor ini.

Berkongsi cerita Jedd mengakui dia sendiri tidak menyangka berpeluang untuk tampil ke kaca televisyen memandangkan dia selesa berada di belakang tabir.

Pernah bekerja sebagai penyampai radio di Melaka FM selama tiga tahun, Jedd juga tidak menyangka kemenangannya pada pertandingan realiti tersebut memberi keyakinan kepada dirinya untuk yakin ke depan.

Meskipun ada pihak beranggapan usahanya itu sia-sia dengan mengaitkan umurnya yang kini 28 tahun, Jedd percaya pada rezeki mendatang.

“Saya orang yang positif dalam semua hal. Saya tak akan mendengar kata-kata orang untuk lebih berjaya,” ujar anak kelahiran Johor ini yang mengacarakan Sukan Olimpik 2016 di TV1.

Frisca bekerja keras

PROGRAM realiti Ikon Siarawan 2016 yang disertai sebelum ini banyak memberi manfaat buat anak kelahiran Kuching, Sarawak, Frisca Freddy untuk mengenali bakat diri.

Biarpun tidak berpeluang untuk menjadi finalis dalam pertandingan berkenaan namun Frisca mendapati terlalu banyak hikmah yang berlaku selepas itu.

Meskipun bidang itu masih baharu buat dirinya, Frisca perlu bekerja keras dalam memastikan keupayaan dirinya setanding dengan yang diingini pihak tertentu.

“Bidang sukan adalah satu perkara baharu buat saya. Untuk itu, saya sanggup menelaah dan merujuk kepada pakar bidang berkenaan bagi mendapatkan gambaran lebih jelas.

“Paling saya takuti andai tersalah berkongsi maklumat tentang peraturan sukan ketika siaran langsung.

“Bagi mengelakkan kejadian itu, saya isi pengetahuan sebanyak mungkin serta berkongsi dengan mereka yang pakar dalam bidang ini.

“Dengan tunjuk ajar itu, saya yakin dapat memperbaiki kelemahan sedia ada,” katanya yang bertindak sebagai pengacara Sukan Olimpik 2016 di TV2.

Terkini, Frisca bertindak sebagai penerbit rancangan di radio TraXX FM di RTM. Satu bidang yang mencabar dirinya untuk lebih peka dengan keadaan sekeliling.

Lebih-lebih lagi mengacarakan program bual bicara berjudul W Talk On TraXX, Frisca perlu menyelami perjuangan wanita moden hari ini.

“Dalam hal untuk memajukan diri dan menjadi serba boleh, yang penting adalah kerja keras, selebihnya berserah kepada takdir.

“Kalau ditanam sikap begini, semua kerja jadi mudah,” kata pembaca berita Malaysia 1 News di HyppTV ini lagi.