Kompleks Sukan Negeri Sembilan, Paroi, Seremban akan kembali menjadi tuan rumah peringkat awal kejohanan seperti tahun lalu manakala Quill City Mall, Kuala Lumpur bakal menjadi venue peringkat akhir. Turut dipertandingkan adalah tiga lagi kategori iaitu Bawah 12 (Cilik Utusan), 14 (Remaja Utusan) dan 16 Tahun (Belia Utusan).

Kejohanan Sepak Takraw KFC-Utusan 2016 juga dijangka me­raih sambutan yang lebih hangat setelah meraih pengiktirafan Malaysia Book of Records tahun lalu apabila berjaya menggamit penyertaan 241 regu dalam empat kategori, malah disiarkan secara langsung menerusi TV1 RTM.

Sebagai satu-satunya kejohanan besar sepak takraw di tempat terbuka seperti tradisi edisi lalu, lebih ramai penyokong setia dan peminat baharu bakal muncul apatah lagi dengan Quill City Mall yang terletak di tengah-tengah ibu kota, merupakan lokasi kunjungan awam setiap hujung minggu dan berhampiran Kampung Baru yang padat dengan penduduk khususnya masyarakat Melayu, pencipta dan penggemar utama sukan antarabangsa ini.

Adegan menarik dan hebat perlawanan akhir Terbuka tahun lalu juga dijangka berulang kali ini seperti mana pertembungan ‘murid lawan guru’ antara tekong muda kebangsaan, Ahmad Aizat Mohd. Nor Azmi dengan lawan veteran, Ahmad Ezzat Mohd. Zaki yang akhirnya menyaksikan PKNS muncul juara, menewaskan UPM.