Saiz Teks

A- A A+

Pilihan Warna

A A

settings

A- A A+
A A

Newspaper Cutting

Utusan: SASAR SOLIDARITI 10 JUTA UMMAH

Last modified on .

 

MUKADIMAH

ISLAM digambarkan sebagai agama kolot, ganas dan mundur. Tidak dinafikan, persepsi buruk itu berpunca daripada sikap sebahagian besar umat Islam sendiri tidak melambangkan karakter Muslim sejati hasil mindset dan jiwa al-Quran.

Di Malaysia sendiri, 70 peratus daripada 17.4 juta rakyat beragama Islam tidak membaca atau memahami al-Quran, justeru bagaimana pembentukan akhlak mulia berlandaskan ajaran Islam dapat dihayati? Bertitik tolak daripada itu, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas di bawah teraju Ketua Pegawai Eksekutifnya, MARHAI NI YUSOFF menggerakkan usaha mengukuhkan ummah dengan al-Quran, dan salah satunya ialah WORLD#QuranHour. Kepada wartawan Utusan Malaysia, RAJMAH HA SAN dan jurugambar NOOR AZLI NA JAAFAR , beliau berkongsi misi dan harapan tentang program julung kali diadakan di Malaysia dan di dunia itu baru-baru ini.

UTUSAN: Boleh ceritakan sedikit latar belakang dan dari mana datangnya inspirasi untuk merealisasikan program?

MARHAINI:Jujurnya, WORLD–#QuranHour meminjam konsep program Let’s Read Together For 10 Minutes yang diperkenalkan Perpustakaan Awam Selangor pada 2014, hasil inspirasi daripada sambutan Earth Hour.

Kejayaan program menarik penyertaan semua perpustakaan awam negeri secara serentak pada hari, tarikh dan masa sama iaitu pada 22 April setiap tahun bermula pukul 10 hingga 10.10 pagi, mendorong kami melakukan inisiatif sama. Keyakinan kami, jika anda boleh tutup lampu dan hidup dalam kegelapan demi Earth Hour, maka bukalah al-Quran demi cahaya kehi­dupan. WORLD#QuranHour adalah kesinambungan kepada kejayaan #MalaysiaNgaji hasil kempen promosi di bawah #AktifRumahNgaji seperti #KeluargaNgaji, #SekolahNgaji, #OrganisasiNgaji dan #KomunitiNgaji sejak 2013.

 

Apa beza kempen-kempen itu dengan kelas mengaji lain?

Kempen terbuka kepada mana-mana individu, organisasi serta sektor swasta dan kerajaan untuk menyediakan sudut atau kawasan khas yang mesra lepak untuk mengaji. Aktiviti diadakan tidak sekadar membaca dan menghafal tetapi juga amat menekankan pemahaman dan penghayatan ayat-ayat surah dan tadabur daripada al-Quran. Biarpun penyertaan percuma dan terbuka kepada sesiapa sahaja namun sasaran kami ialah golongan yang masih ‘jauh’ dengan al-Quran. Pada ­akhirnya kami mahu memupuk rasa cinta mereka kepada al-Quran sehingga akhir hayat.

 

Bagaimana penerimaan orang ramai setakat ini?

Alhamdulillah sambutan memberangsangkan lebih-lebih lagi setelah kempen #MalaysiaNgaji selama satu jam bermula pukul 12 tengah hari hingga 1 petang diadakan di Masjidilharam pada 24 Ramadan bersamaan 29 Jun lalu mendapat liputan secara live di Astro Oasis dan Astro Maya HD.

Tanpa disangka, kempen yang turut diviralkan Astro, Sinar TV, Sinar Harian, TV3, RTM1 dan ste­sen-stesen radio itu telah mendapat lebih 5,000 perkongsian dan 21 juta ‘impressions’ menerusi aplikasi hoot suite di media sosial.

Kami juga tidak menduga kejayaan #MalaysiaNgaji menjadi pencetus kepada inisiatif kempen #IndonesiaNgaji, #SingapuraNgaji dan #BruneiNgaji. Sementara itu, hasil gerak kerja #AktifRumahNgaji sejak 2013, kini terdapat 1,200 Rumah Ngaji yang diaktifkan di sekolah, hospital, kawasan ­penempatan Orang Asli dan Jabatan Penjara Malaysia, Felda selain di selatan Thailand.

Di mana lokasi dan berapa sasaran penyertaan WORLD–#QuranHour?

Edisi sulung WORLD#Quran–Hour dijadualkan pada 11 September atau 9 Zulhijjah ini dan akan melibatkan beberapa lokasi hotspot untuk bacaan al-Quran secara berkumpulan dan serentak selama satu jam bermula pukul 9 pagi. Di Malaysia, program diadakan di lokasi utama iaitu Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di Gombak, dengan kesemua 14 negeri lain turut menganjurkan di lokasi ter­tentu melibatkan gabungan pelbagai pihak. Di pe­ringkat antarabangsa pula, Padang Arafah di Mekah dijadikan lokasi tum­puan bagi jemaah haji Malaysia dan negara lain bergabung menyer­tai kempen itu. Setakat ini, 117 buah negara dan ratusan persatuan serta gabungan Muslim daripada pertubuhan bukan kerajaan dan 57 negara anggota Pertu­buhan Kerjasama Islam (OIC) te­lah memberi maklum balas positif untuk menyertai program.

Di India sahaja, kita dimaklumkan seramai lapan juta rakyat negara itu akan memberi komitmen, manakala penyanyi antarabangsa Maher Zain yang mempunyai capaian 45 juta audiens juga dijangka menyertainya dari Lubnan sewaktu program WORLD#QuranHour berlangsung.

Kita juga mendapat sokongan rakyat Malaysia di luar negara termasuk di Amerika Syarikat, United Kingdom, Turki, Indonesia, Singapura, Brunei, Mesir, Arab Saudi, Jordan dan Australia. Malah, buat pertama kali juga, sebagai simbol komitmen ­penyatuan hati bersama al-Quran, kira-kira 20 media utama di negara ini termasuk Utusan Malaysia akan bergabung tenaga menjayakan WORLD#QuranHour.

Kami hanya sasarkan 10 juta umat Islam menyertai kempen itu di peringkat global. Kami tidak mahu dilihat terlalu ambitious dan teruja dengan sambutan di­terima setakat ini.

Di sebalik sambutan diterima, tidakkah program nanti dianggap memberi ancaman kepada bukan Islam lebih-lebih lagi tarikh itu ‘berkongsi’ dengan tragedi 9/11?

Tidak perlu rasa terancam kerana program hanya mengajak orang ramai khususnya umat Islam meluangkan masa selama satu jam untuk membaca, memahami, menghayati serta berinteraksi dengan al-Quran yang memfokuskan kepada isu-isu bertemakan kecintaan, kesyukuran dan keamanan.

- Sumber Rujukan: http://www.utusan.com.my

Print Email

offcanvas