Pengarah Urusan Kumpulan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, Datuk Mohd. Noordin Abbas berkata, sambutan hebat yang diterima tahun lalu meningkatkan keyakinan bahawa kejohanan yang memasuki edisi ketujuh itu akan terus mendapat tempat di hati pemain serta komuniti sepak takraw di negara ini.

Dalam edisi kali ini, perlawanan peringkat awal akan diadakan di Kompleks Sukan Negeri Paroi, Ne­geri Sembilan pada 29 September hingga 1 Oktober, sebelum saingan akhir yang menghimpunkan regu-regu terbaik di seluruh negara berlangsung di pusat membeli belah Quill City Mall, Kuala Lumpur pada 2 Oktober.

“Kita dapat lihat kemeriahan kejohanan ini semakin meningkat, malah saya yakin ada peningkatan daripada segi jumlah penyertaan.

“Ingin saya maklumkan bahawa baru-baru ini pada 8 Ogos, Kejohanan Sepak Takraw KFC-Utusan mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records menerusi pencapaian ‘Pemain/Regu Teramai Dalam Kejohanan Sepak Takraw’ pada 2015 yang berjaya menghimpunkan 240 regu.

“Saya menjangkakan sekurang-kurangnya tahun ini kita akan menerima 250 penyertaan, sekali gus mengatasi jumlah peserta tahun lalu. Penyertaan sudah dibuka dan tarikh tutup adalah 23 September ini,” katanya selepas pelancaran kejohanan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Noordin turut berkata, jumlah penajaan bagi menjayakan kejohanan tersebut turut mendapatkan sambutan menggalakkan, terutama selepas menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada KFC kerana bersama kami menjayakan kejohanan yang memasuki tujuh tahun.

“Penajaan daripada syarikat swasta juga meningkat. Ini membuatkan kami semakin teruja. Kalau dilihat daripada peningkatan sokongan yang diberikan, penganjuran kejohanan tahun ini lebih meriah,” katanya lagi.

Antara penaja dan rakan strategik yang menjayakan kejohanan kali ini adalah KFC Malaysia, yang diwakili Pengurus Besar Kanan­nya, Muzamir Shah Mohamed Shariff; Penolong Pengarah Pemasaran dan Promosi Radio Televisyen Malaysia (RTM), Shahuzailye Sallehudin; Ketua Pegawai Kumpulan Quill, Ng Chee Keong; Pengurus Penajaan 100 Plus, Muhammad Fauzi Ahmad.

Selain itu, Pengurus Kanan Pembangunan Perniagaan Komunikasi dan Perhubungan Benelli Malaysia, Wan Najib Wan Daud; Timbalan Pengarah Bahagian Sukan, Kementerian Pendidikan, Zainal Abas dan Pengarah Majlis Sukan Negeri, Negeri Sembilan, Fouzee Abd. Aziz turut hadir memeriahkan majlis perasmian kejohanan berkenaa

Kejohanan kali ini mengekalkan format kalah mati dan terbahagi kepada empat kategori Terbuka Lelaki Utusan, Lelaki Bawah 16 Tahun (Belia Utusan), Lelaki Bawah 14 Tahun (Remaja Utusan) dan Lelaki Bawah 12 Tahun (Cilik Utusan).

Kejohanan menawarkan hadiah lumayan buat pemenang dengan juara Terbuka menerima RM15,000, juara Belia RM6,000, juara Remaja RM5,000 dan juara Cilik RM3,000.

Sementara itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersedia menjalin kerjasama dalam menyediakan lokasi pertandingan dan perkhidmatan logistik bagi penganjuran kejohanan pada masa akan datang.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mhd. Amin Nordin Abdul Aziz berkata, penganjuran kejohanan seumpama itu merupakan satu usaha murni yang wajar diteladani oleh badan-badan dan syarikat-syarikat korporat lain.