Menurut Pengarah Penyelidikan Institut Kajian Khazanah, Dr. Suraya Ismail, penerapan teknologi dan inovasi dalam industri pembinaan merupakan tanggungjawab pemain industri bagi memastikan kelestarian dalam harga rumah.

"Kos, penerapan dan rekabentuk inovasi adalah tanggungjawab firma yang berpecah-pecah dan bukan kerajaan," kata beliau kepada Utusan Online selepas program Advokasi Ilmuwan Edisi Ke-16 di Universiti Teknologi Malaysia di sini hari ini.

Rakan panelis beliau dalam forum tersebut, Prof. Madya Sr. Dr. Hishamuddin Mohd. Ali pula menambah, satu piawaian baharu perlu diwujudkan bagi menggalakkan pemain industri lebih serius dalam membantu menyelesaikan masalah harga rumah.

"Peranan industri perlu dipertingkat supaya mereka bukan sahaja hanya menghasilkan rumah mampu milik tetapi berkongsi kesenangan dengan pengguna," kata Timbalan Dekan Fakulti Geo Informasi dan Hartanah UTM ketika ditemuramah selepas forum bertajuk Perumahan Di Malaysia: Mampu Milik Atau Mampu Tengok tersebut.

Forum kerjasama antara Majlis Profesor Negara (MPN), Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Utusan Malaysia yang dimudah cara oleh Prof. Dr. Durissyah Ismail berkenaan turut disertai wakil MPN, Prof. Datuk Dr. Abdul Halim Sidek sebagai panelis ketiga. - UTUSAN ONLINE