Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Datuk Dr. Abdul Halim Sidek berkata, setakat ini tiada badan khas ditubuhkan bagi tujuan itu menyebabkan harga rumah naik mendadak sehingga membebankan pembeli.

“Penubuhan badan khas ini juga adalah saranan daripada orang ramai memandangkan apa juga usaha yang dilakukan oleh kerajaan, harga rumah ini tetap akan meningkat.

“Justeru, dengan adanya badan khas ini, ia bukan sahaja dapat mengawal dan membendung kenaikan harga rumah, malah berperanan menentukan kadar keuntungan maksimum yang wajar dinikmati oleh pemaju bagi mengelakkan mereka mengaut keuntungan berlebihan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Advokasi Ilmuan bertajuk Perumahan di Malaysia: Mampu Milik atau Mampu Tengok? anjuran MPN dengan kerjasama Utusan Malaysia dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di Dewan Sultan Iskandar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini hari ini.

Program yang dihoskan Pengarah Kampus UTM Kuala Lumpur, Dr. Durrishah Idrus itu menampilkan tiga ahli panel, iaitu Abdul Halim; Pengarah Penyelidikan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), Dr. Suraya Ismail serta Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Geoinformasi dan Harta Tanah UTM, Prof. Madya Dr. Hishamuddin Ali.

Yang turut hadir, Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Dr. Ir. Wahid Omar dan Penolong Ketua Pengarang Utusan, Datuk Hassan Mohd. Noor.

Abdul Halim berkata, badan khas itu boleh bekerjasama dengan kerajaan negeri dan agensi di bawahnya bagi menangani isu harga rumah memandangkan projek perumahan melibatkan tanah dan kawasan yang terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

“Kerajaan Persekutuan hanya boleh buat polisi tetapi mesti kena ada kerjasama dengan kerajaan negeri dan agensi di bawahnya bagi memastikan usa­ha ini dapat dilakukan secara berterusan.

“Tidak kisah sekiranya sesebuah negeri itu diperintah oleh kerajaan ataupun pembangkang, tetapi apabila melibatkan isu seperti harga rumah, ia tetap memerlukan sebuah badan induk untuk menyelianya,” katanya sambil berharap semua pihak berkaitan menyokong sepenuhnya usaha menubuhhan badan khas itu kerana isu perumahan tidak wajar diserahkan kepada kerajaan semata-mata.

Menurutnya, kerajaan telah melakukan banyak inisiatif dan memberi subsidi bagi memastikan rakyat memiliki rumah dan berharap pihak lain seperti Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Redha) turut memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing.