Pengarah Penyelidikan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), Dr. Suraya Ismail berkata, setakat ini sehingga 98 peratus pemaju masih menggunakan kaedah konvensional berbanding berubah kepada cara yang lebih moden.

“Industri pembinaan di negara ini memerlukan pemodenan dan firma dalam rangkaian pembinaan perlu melabur dalam teknologi moden seperti sistem bangunan industri (IBS) atau menggunakan teknologi dan inovasi sendiri.

“Jika mereka masih kekal menggunakan kaedah konvensional, harga rumah akan terus meningkat, namun dengan sistem pembinaan yang lebih moden mereka boleh menurunkan harga rumah sehingga 30 peratus berbanding harga asal,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Advokasi Ilmuan bertajuk Perumahan di Malaysia: Mampu Milik atau Mampu Tengok? anjuran Majlis Profesor Negara (MPN) dengan kerjasama Utusan Malaysia dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di Dewan Sultan Iskandar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini hari ini.

Program yang dihoskan Pengarah Kampus UTM Kuala Lumpur, Dr. Durrishah Idrus itu menampilkan tiga ahli panel iaitu Suraya; Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa MPN, Prof. Datuk Dr. Abdul Halim Sidek dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Geoinformasi dan Harta Tanah UTM, Prof. Madya Dr. Hishamuddin Ali.

Yang turut hadir Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Dr. Ir. Wahid Omar dan Penolong Ketua Pengarang Utusan, Datuk Mohd. Hassan Mohd. Noor.

Suraya berkata, kaedah pembinaan secara moden telah lama diamalkan di negara-negara Barat dan negara membangun lain kerana bukan sahaja dapat mengurangkan kos operasi, malah tempoh projek pembinaan.

“Dengan menggunakan kaedah pembinaan secara moden, pemaju mungkin boleh memendekkan tempoh pembinaan sesuatu projek dari dua tahun menjadi enam bulan sahaja, sekali gus mengurangkan banyak kos operasi.