Ketua Penyampai Berita TV Radio Televisyen Malaysia (RTM), Fathilhidayat Gazali yang juga penerbit pada malam itu berkata, Norashikin tidak sedikit pun menunjukkan reaksi yang beliau telah melangsungkan pernikahan pada sebelah pagi.

Sebaliknya, beliau hanya memberitahu bakal bercuti selama dua minggu bermula 1 hingga 14 September ini dan akan bertemu dengan pihak pengurusan RTM sekembali bercuti dari luar negara.

“Saya memang terkejut apabila dapat tahu berita pernikahannya. Sebelum ini Kak Shikin tidak pernah cerita apa-apa dan hanya cakap ada perkara besar nak beritahu tapi tunggulah dia balik dari bercuti nanti.

“Rupa-rupanya perkara besar yang dia nak cakap itu, cerita hangat hari ini. Saya faham, dia mungkin tidak boleh berceri­ta sembarangan. Apapun saya tumpang gembira dengan pernikahan Kak Shikin dengan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah,” kata Fathilhidayat kepada Utusan Malaysia.

Bercerita lanjut tentang sahabat yang dikenalinya sejak 1996, Fathilhidayat berkata, Norashikin, 45, mula membaca berita di stesen televisyen ber­kenaan sejak tahun tersebut sehingga 31 Ogos lalu.

Katanya, kemunculan Norashikin di layar kaca sentiasa dinanti kerana beliau merupakan seorang pembaca berita yang konsisten dan sebutannya amat jelas.

“Kak Shikin ada aura tersendiri bila baca berita. Belum ada yang boleh ganti dia. Kami bukan sahaja sering digandingkan membaca berita bersama, malah setiap kali pihak RTM mengadakan majlis rasmi, saya dan Kak Shikin akan bekerjasama sebagai pengacara terutamanya kalau ada program Konsert Diraja.

“Selain itu saya dan Kak Shikin juga akan bergandingan menjadi pengacara untuk Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) sejak 2008. Kiranya MSAM yang diadakan di Perak, April lalu, mungkin yang terakhir kami be­kerjasama,” jelasnya yang akan merindui saat-saat bekerjasama dengan isteri Sultan Selangor itu.

Tambah Fathilhidayat, Norashikin antara pembaca berita yang disegani kerana beliau seorang yang disiplin dan sentiasa teruja dalam melaksanakan tugasan walaupun sudah lama bekerja.

Katanya, selain itu Norashikin juga disenangi kerana tidak pernah meninggi diri dan sentiasa mesra dengan rakan-rakan se­kerja.

“Sangat senang bekerja de­ngan Kak Shikin kerana dia tidak kedekut ilmu dan mudah mesra dengan siapa sahaja. Dia bukan jenis yang suka bercerita hal peribadi dan sebab itulah sampai dia nikah, kawan-kawan di RTM tidak tahu. Bagaimanapun, dia gemar bercerita perihal dua orang anaknya itu,” tambah beliau lagi.