Rata-rata mereka melahirkan rasa terperanjat dengan berita tersebut kerana sebelum ini Nor­ashikin tidak pernah bercerita mengenai hubungannya de­ngan Sultan Selangor, malah pada malam 31 Ogos lalu beliau masih menyampaikan berita.

Rakan sekerja Norashikin yang juga merupakan pembaca berita RTM, Suhaimi Mohamed juga terkejut, sekali gus teruja dengan berita perkahwinan itu.

“Saya hanya mengetahui cerita perkahwinan itu melalui media. Saya mengenali Norashikin sejak 12 tahun lalu. Dalam bidang penyiaran beliau sememangnya menjadi contoh bukan sahaja kepada saya, tetapi juga kepada semua wartawan dan pembaca berita muda yang lain.

“Beliau juga banyak mengajar saya daripada mula bekerja hinggalah kini, seorang yang sangat santun, serius ketika bekerja dan sangat menjaga disiplin,” kongsi Suhaimi.

Suhaimi juga tidak me­nyangka episod pertama program Ikon Siarawan 2014 yang dihadiri wanita itu merupakan siaran langsung terakhir yang menggandingkan mereka berdua di depan kamera.

Bekas personaliti RTM, Datin Sharifah Shawati juga melahirkan rasa gembira dengan berita perkahwinan Norashikin yang dikenalinya sejak bersama-sama berkhidmat di Malaysia Airlines (MAS) sebagai pramugari.

“Beliau seorang yang lemah-lembut dan sifat itu sangat sesuai dengan Tuanku Sultan. Semoga dilimpahkan rahmat Tuanku bersama pasangannya dan saya tumpang seronok dengan perjalanan kehidupan mereka yang baru ini,” jelas Shawati.

Sementara itu, pembaca be­rita Dunia Jam 10 di RTM, Farit Ismeth Emir menganggap Norashikin sebagai seorang yang bersopan santun dan bersikap pemalu, malah wanita itu juga baginya tidak pernah memandang rendah kepada sesiapa pun walaupun merupakan seorang pembaca berita yang terkenal.

“Dari segi penyampaian berita dia adalah seorang yang semula jadi dan berjaya membaca sesebuah be­rita dengan berkesan. Malah dia adalah seorang yang amat ber­disiplin. Saya ucapkan selamat pe­ngantin baharu dan semoga perkahwinan Shikin dan Tuanku hingga ke akhir hayat,” kata­nya.

Bekas juruhebah dan pembaca be­rita radio RTM, Noraini Ibnu juga me­lahirkan rasa bangga de­ngan pernikahan Norashikin.

“Saya dapat tahu beliau sudah berhenti kerja beberapa hari lalu. Secara peribadi saya tidak terlalu mengenalinya, namun tahu beliau seorang yang baik dan lemah lembut. Melalui berita ini juga saya sebagai rakyat Selangor turut berbangga kerana sultan kami akhirnya bertemu jodoh,” katanya yang juga merupakan isteri penyanyi Herman Tino.

Bagi Shahril Sarapudin yang pernah beberapa tahun digan­dingkan dengan Norashikin me­nyampaikan berita di RTM, 31 Ogos lalu pasti menjadi tarikh akhir mereka bertugas bersama.

“Memang tak sangka sebab pada 31 Ogos lalu beliau masih menyampaikan berita dan dalam jadual rasmi penyampai berita RTM pun masih ada lagi slot untuk beliau,” katanya.