Program realiti popular pertama yang pernah disertai adalah Mentor musim pertama yang menyaksikan wanita tinggi lampai bernama Dewi Liana Seriestha ini menjadi anak didik kepada penyanyi Liza Hanim.

Bagaimanapun Dewi gagal meraih gelaran juara dan cuma selesa bergelar Top 6 namun itu tidak pernah mematahkan semangatnya untuk meneruskan hasrat ‘menjual vokal’ untuk didengari dan menghiburkan khalayak sementelah muzik sudah sebati dengan dirinya sejak kecil.

Siapa sangka, selepas pulang daripada menyertai pertandingan Miss World di London pada 2014, telah membuka jalan mudah buat Dewi sehingga kini beroleh peluang untuk menjadi artis naungan Warner Music Malaysia.

Tanpa ragu mengakui bahawa melalui pertandingan berprestij itu, tuah semakin datang bergolek, Dewi merangkul setiap rezeki yang hadir biarpun sebelum ini tidak ramai yang mengenali dirinya sebagai seorang penyanyi mahupun pelakon.

“Tidak drastik tetapi saya boleh nampak perjalanan seni saya semakin lancar sekarang. Saya anggap diri saya bertuah walaupun tuah itu datang lambat biarpun sebelum ini sudah pelbagai pertandingan dan program saya sertai.

“Jujurnya, saya sendiri tak pernah menjangkakan mampu berada pada tahap ini namun saya bersyukur dan bangga kerana usaha saya berbaloi biarpun datangnya secara perlahan-lahan,” kata Dewi.

Berkongsi cerita, wanita berusia 27 tahun ini memberitahu, dia tidak fikir menolak lamaran Warner adalah sesuatu yang munasabah memandangkan selepas memenangi kategori Miss Talent pada pertandingan Miss World dua tahun lepas, nyanyian juga sudah menjadi fokus utama kerjayanya.

Bezanya, dia tidak berada di bawah naungan mana-mana syarikat. Hal ini juga menjadi pertanyaan utama, andai dia sudah lama berkecimpung dalam industri, mengapa baru sekarang dia menjadi perhatian dan mula diberi peluang dalam dunia muzik arus perdana?

Dewi lancar memberi alasan bahawa dia sedar dia kurang menerima publisiti sebelum ini namun itu tidak pernah menjadi isu besar buat dirinya meski sedar untuk seseorang artis, publisiti adalah salah satu perkara yang tidak wajar dipandang ringan.

“Saya rasa ini berlaku kerana saya kurang mengenali orang dalam industri. Saya bergerak sendiri ketika itu dan lazimnya selepas habis membuat persembahan di mana-mana majlis, saya terus balik. Yang menguruskan saya juga cuma ayah saya.

“Namun itu tidak bermaksud saya mengelak publisiti kerana ketika itu saya berpendapat, ada atau tidak, saya perlu tanam kepercayaan bahawa rezeki itu Tuhan yang tentukan dan pasti ada.

“Bukan tiada langsung publisiti tetapi tak banyak sebab tiada cerita mengenai saya pun,” katanya.

Perjalanannya sebagai Ratu Cantik Malaysia ke pertandingan berprestij pada 2014 itu juga memberi peluang kepada anak kelahiran Kuching, Sarawak ini mengenali kerenah dan ragam manusia yang pelbagai.

Menganggap satu platform untuk dia lebih mengenali sikap manusia dalam skala lebih besar, Dewi mengakui, memberi nilai tambah untuknya dan kini dijadikan sebagai 'perisai’ saat berdepan dengan ragam orang dalam industri pula.

Kata Dewi, sepanjang berada di sana, pengalamannya berdepan dengan orang luar ketika melayan dirinya sebagai wakil Malaysia memberi satu persepsi berbeza.

“Ketika saya melangkah masuk dalam pertandingan itu, saya nampak ada jurang cara mereka melayan saya sebagai wakil negara. Itu berlaku sebelum saya berjaya mencuri hati mereka menerusi persembahan saya untuk Miss Talent yang kemudiannya menyaksikan saya meraih kemenangan untuk kategori itu.

“Rupa-rupanya saya dapat tahu, beberapa tahun kebelakangan, wakil Malaysia seakan-akan diperlekehkan. Tidak dipandang pun atas sebab yang saya sendiri tak pasti. Barangkali mereka memandang rendah kepada kita.

“Selepas saya memenangi gelaran Miss Talent, barulah layanan mereka berubah, mula menghormati, mula memberi perhatian malah memuji Malaysia.

“Dari situ saya tahu, saya telah berjaya memecahkan tembok dan membuka mata orang luar bahawa kita juga punya bakat dan keistimewaan yang tidak boleh dipandang rendah,” katanya yang menerima banyak pujian daripada juri dan peserta pertandingan itu.

Sedar bahawa itu adalah pengajaran berharga dalam menilai sikap manusia, kata Dewi, juga dia belajar untuk sabar dan selalu percaya kepada kebolehan diri selain percaya kepada Tuhan.

“Itu menunjukkan tak semua orang dalam dunia ini baik seperti yang kita sangka. Orang macam saya, memang akan pasrah saja kalau orang berbuat perkara buruk kepada diri ini. Tetapi saya selalu tanam dalam diri bahawa kalau Tuhan beri rezeki kepada kita, rezeki itu tidak akan jadi milik orang lain.

“Orang mahu buat jahat, mahu jatuhkan kita sekali pun, dia tidak akan berjaya kerana itu semua kuasa Tuhan,” katanya.

Menurut Dewi, dia juga belajar untuk berhati-hati dan tidak mudah meletakkan kepercayaan kepada orang lain setelah melalui pengalaman dalam banyak pertandingan sebelum ini.

“Sebab itulah kalau ke mana-mana saya pasti ditemani anggota keluarga, dari kecil sampailah sekarang. Prinsip saya pegang, jangan mudah percaya orang, lebih baik berhati-hati. Apalagi terhadap mereka yang cuba untuk menjatuhkan.

"Saya tak mahu lekas putus asa, bukan tak pernah tetapi saya tak mahu berlarutan dalam diri dan membuatkan saya lemah,” katanya.

Selain nyanyian, Dewi turut bergelar pelakon dan kebanyakan kelibatnya menghiasi RTM.

Antara pembabitannya adalah menerusi naskhah berjudul Kembali, Patung Cinta, Nilai Cinta dan beberapa buah telemovie.

Bagaimanapun akui Dewi, penglibatannya dalam dunia lakonan sedikit hambar untuk satu tempoh memandangkan dia banyak memberi keutamaan kepada dunia nyanyian yang lebih 'dekat' dalam jiwanya.

“Bukan langsung tidak berminat atau tak nak berlakon, saya nak sangat, Tetapi buat masa ini, saya tumpu kepada nyanyian dulu dan mahu menaikkan dulu kerjaya nyanyian terutama selepas berada di bawah Warner.

“Hasrat saya mahu menakluk jiwa pendengar dalam negara dulu menerusi nyanyian sebab saya juga pada masa yang sama susun perancangan untuk cuba meneroka peluang di luar negara.

“Namun kalau ada tawaran yang datang dan sesuai dengan masa dan wataknya, saya mungkin akan pertimbangkan,” katanya.

Pada masa yang sama, kata Dewi yang bersuara klasikal, dia juga sibuk menguruskan bisnes fesyen yang dijalankan di bawah jenama Dewi by Dewi yang bakal hadir dengan koleksi baharu.

Tambah gadis yang berkebolehan bermain alat muzik ini juga, dia kini sedang menunggu lampu hijau daripada pihak Warner untuk bergerak mempromosikan single sulungnya yang masih lagi dirahsiakan judulnya.