Apatah lagi apabila perkara yang amat melukakan hati dan perasaan itu tidak hanya berlaku sekali dalam kehidupan berumah tangga.

Namun jodoh itu ketentuan Tuhan dan sebagai manusia normal sudah pasti gejolak hati untuk mengecap kebahagiaan dan hidup berpasang-pasangan sentiasa terdetik dalam hati paling dalam.

Itulah antara coretan yang turut tertulis dalam diari hidup pelakon kecil molek, Ana Dahlia, 33, yang telah hampir lima tahun bergelar janda dan dua kali gagal dalam perkahwinan.

Malah hatinya sentiasa diburu ketakutan terhadap prasangka orang kepada dirinya apabila hasratnya mahu berkahwin lagi.

“Walaupun tidak pernah serik untuk berumah tangga namun hati Ana sebenarnya sangat takut memikirkan kata-kata orang. Tetapi ibu, ayah dan adik beradik memberi semangat dan berkata bahawa perkara ini (kahwin) sudah tertulis.

“Mereka kata biarlah orang nak kata apapun... Dan kata-kata merekalah yang buat Ana kuat untuk mendirikan rumah tangga sekali lagi.

“Lagipun dalam bidang ini Ana kena terima. Wartawan akan tanya, peminat mahu tahu. Tapi yang Ana harapkan mereka lebih berfikiran positif dan mendoakan kebahagian Ana,” kata pelakon yang popular menerusi drama bersiri Cinta Itu Milikku itu.

Ana atau nama sebenarnya Diyana Mastura Jaafar ditemui selepas selamat diijabkabulkan dengan pasangannya, Mohd. Ashraf Jurey di Hotel Perdana Taiping di Perak, pada 31 Ogos.

Dengan sekali lafaz, Ana sah menjadi milik Mohd. Ashraf yang juga merupakan anak kepada pengarah, Datuk Jurey Latiff Rosli.

Pasangan ini yang mengenakan pakaian sedondon berwarna putih gading dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah Daerah Taiping, Roziman Tajuddin pada pukul 10.48 pagi.

Pada majlis itu, pelakon filem Mantra itu turut menerima mas kahwin berjumlah RM1,000 manakala wang hantaran dirahsiakan jumlahnya.

Bagi barang hantaran pula, pihak perempuan menyerahkan lima dulang berbalas tujuh dulang daripada pihak lelaki.

Majlis yang berlangsung pada sambutan Hari Kemerdekaan Negara yang ke-59 itu diadakan secara sederhana dan dihadiri oleh keluarga kedua-dua belah pihak serta kenalan rapat pasangan tersebut.

Fokus cinta baharu

Kata bekas peserta program realiti Pilih Kasih musim pertama ini, dia mengambil masa setahun lebih untuk berkenalan dan mengenali hati budi Mohd. Ashraf sebelum menerimanya sebagai suami.

Malah dia sendiri tidak menyangka perkenalan yang bermula di set drama Singgahsana Cinta yang kini sedang ditayangkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) itu akhirnya ke jinjang pelamin.

“Nampaknya cinta kami memang betul-betul singgah di situ (Singgahsana Cinta).

Pada waktu itu, suami sudah mula bertanya tetapi saya minta diberikan ruang memandangkan kami sama-sama pernah berkahwin sebelum ini.

“Kami beri masa kepada diri masing-masing untuk berfikir sebaik-baiknya. Kemudian selepas bersetuju, perancangan awal kami hanya mahu mengadakan majlis pernikahan sahaja.

“Rancang yang termampu secepat mungkin. Ingat mahu bertunang dan majlis dibuat pada hujung tahun tetapi tengok tarikh 31 Ogos paling hampir dan kami sepakat adakan majlis pada waktu itu memandangkan semua orang pun sedang bercuti,” katanya.

Meletakkan kisah silamnya jauh ke belakang, pelakon berwajah manis itu mengharapkan perkahwinan kali ketiga buat dirinya itu akan kekal sehingga ke hujung nyawa.

“Harap dia (Mohd. Ashraf) jadi pembimbing, faham tanggungjawabnya dan sayang Ana sampai bila-bila dan biarlah perkahwinan ini yang terakhir.

“Sebenarnya semua orang harap perkara yang sama, begitu juga orang lain kalau kita tanya. Tapi ketentuan Ilahi kita tidak tahu, orang boleh berkata apa sahaja tapi yang merasai hanya diri dan Allah sahaja,” kata Ana berfalsafah.

Ana berkata, dia mahu fokus terhadap cinta baharunya itu dan melupakan yang telah dilaluinya sebelum ini.

Kata Ana, Mohd. Ashraf sendiri sebelum ini pernah melayari perkahwinan dan melalui krisis perceraian beberapa kali.

Untuk itu, kata Ana, baik dia ataupun Mohd. Ashraf , mereka sepakat untuk sama-sama memperbaiki diri dan menambahbaik corak kehidupan masing-masing supaya perpisahan tidak terjadi sekali lagi dalam diari hidup mereka.

“Bagi Ana kita kena jujur dan setia kerana perempuan perlu itu daripada lelaki selain memahami serta sentiasa berfikir positif untuk masa depan dan terima kekurangan pasangan masing-masing,” kata Ana.

Anak dan bulan madu

Mohd. Ashraf pula berkata, sebagai suami dia melihat perlunya dia lebih bertolak ansur dengan Ana dalam semua keadaan selain memahami naluri dan perasaan wanita itu.

“Kami kerja bidang yang sama. Kadang-kadang kita tidak tahu benda-benda yang boleh terjadi. Jadi elok kami sama-sama buat persedian awal,” katanya yang berasal dari Lenggong, Perak.

Pasangan ini belum merancang destinasi untuk berbulan madu kerana sibuk dengan karier masing-masing.

Bagaimanapun, kata Ana dia akan bercuti seminggu sebelum memulakan pengambaran manakala Mohd. Ashraf mempunyai pengambaran telemovie yang masih tertangguh.

“Kami akan berbincang mengenainya (bulan madu). Tengoklah kalau ada masa yang sesuai. Namun destinasinya hanya dalam negeri sahaja,” kata Ana.

Bercerita mengenai cahaya mata, Ana tertawa sambil berkata, dia sebenarnya tidak sabar untuk bergelar ibu.

Malah katanya, dia dan Mohd. Ashraf tidak merancang jumlah anak yang mereka inginkan dalam perkahwinan baharu ini.

“Berapa rezeki yang Allah bagi, kami terima.Kami tak rancang apa-apa pun. Lagipun Ana tidak dikurnia anak dalam dua perkahwinan terdahulu.

“Sudah tentu Ana tidak sabar untuk memiliki anak sendiri bersama suami,” katanya sambil memaut manja jari jemari suaminya itu.

Pasangan sama cantik, sama padan ini turut diraikan pada majlis resepsi di sebelah pihak perempuan yang diadakan pada sebelah malam di lokasi sama.

Sementara kata Mohd. Ashraf, resepsi sebelah lelaki akan diadakan pada masa terdekat dan secara tertutup.