Meskipun ramai yang tidak tahu personaliti TV jelita itu bertemu jodoh dengan Sultan Selangor sehinggalah ia diumumkan oleh Setiausaha Sulit baginda, Datuk Munir Bani dalam satu kenyataan Jumaat lalu, tetapi warkah itu telah disambut dengan rasa kegembiraan.

Pembaca berita RTM, Harjit Singh Hulon, 63, misalnya turut bangga apabila rakan sekerja yang juga anak didiknya dalam dunia penyiaran TV itu selamat dinikahkan oleh Mufti Selangor, Datuk Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid dalam satu majlis yang cukup sederhana.

Menurut Harjit, biarpun tidak menduga Norashikin akan melalui saat-saat manis itu secara diam-diam, namun beliau yakin sifat-sifat keperibadian tinggi yang dimiliki oleh personaliti tinggi lampai berusia 45 tahun itu ternyata telah berjaya menambat hati Sultan Selangor.

“Saya mengenali Shikin sebelum beliau menyertai RTM. Ketika itu, Shikin baru menyertai MAS sebagai pramugari. Saya pula ditugaskan melatihnya dalam aspek pertuturan dalam bahasa Melayu dan Inggeris sebelum beliau memulakan tugas sebagai pramugari.

“Apabila Shikin membaca berita di RTM, saya sekali lagi melatihnya di TV1. Malah, saya juga pernah digandingkan dengannya membaca berita di TV1. Saya mengenali beliau sebagai seorang yang baik dan tinggi budi pekertinya,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Pernikahan itu turut dihadiri Timbalan Mufti Selangor, Dr. Anhar Opir; Al Fadil Imam Paduka Mohd Rasid Mahful; Bekas Timbalan Mufti Selangor, Datuk Abdul Majid Omar; Ahli Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Salehuddin Saidin dan keluarga pengantin perempuan.

Harjit yang berpengalaman sebagai pembaca berita selama 44 tahun di RTM berkata, sepanjang mengenali Norashikin, bekas pramugari MAS itu merupakan seorang yang mudah tersenyum dan tidak pernah marah, sekali gus memudahkan kerjanya.

“Sifat semula jadinya itu menyebabkan beliau mudah bergaul dengan sesiapa sahaja. Beliau seorang yang berdisiplin. Sepanjang mengenalinya terutama sewaktu sama-sama membaca berita dalam slot Berita Perdana dan Dunia Jam 10 keperibadiannya memang terserlah.

“Mungkin juga kerana sifatnya itu beliau sentiasa kelihatan ceria sama ada di dalam konti mahupun di luar konti. Sebab itu, tidak hairanlah jodohnya dengan baginda Sultan bukan sahaja kerana takdir Tuhan, tetapi ia memang sesuai dan kena pada masanya,” ujarnya.

Upacara pernikahan yang diadakan di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang itu meskipun tidak mendapat liputan media massa dan secara sederhana atas titah baginda, namun ia berjalan dengan sempurna serta disambut gembira oleh rakyat Selangor.

Seorang lagi pembaca berita veteran RTM, Farid Esmet Emer pula menyifatkan Norashikin merupakan seorang yang lemah lembut, pemalu tetapi amat berdedikasi dalam menjalankan tugasnya selain seorang yang sangat menghormati orang yang lebih tua daripadanya.

“Sepanjang 21 tahun membaca berita di RTM, Shikin antara pembaca berita yang serasi dengan saya dan kami selalu digandingkan dalam slot Berita Perdana dan Berita Dunia di TV1 walaupun jarak usia di antara kami agak jauh berbeza iaitu hampir 20 tahun.

“Beliau memanggil saya dengan nama Pak Ngah. Pun begitu beliau tiada masalah untuk menyesuaikan diri dan bekerjasama sewaktu ke udara di kaca TV. Malah, komitmennya itu tetap sama sehinggalah hujung bulan lepas iaitu kali terakhir beliau muncul di TV,” katanya.

Fathil Hidayat Gazali, 31, yang juga teman sekerja Norashikin di konti bilik berita TV RTM turut terkejut dan gembira apabila mendapat tahu pernikahan personaliti yang pernah memenangi anugerah Penyampai Berita TV Terbaik Anugerah Seri Angkasa pada 2005 itu.

Ujarnya, Norashikin bukan sahaja berbakat besar sebagai pembaca berita TV tetapi pada masa sama beliau juga menjadi rebutan banyak pihak dalam mengendalikan pelbagai jenis acara yang berprofil tinggi termasuk anjuran syarikat-syarikat korporat terkemuka.

“Beliau antaranya diberi kepercayaan menjadi pengacara bersama saya dalam program Minggu Saham Amanah Malaysia sejak 2008 hingga tahun ini. Malah, kami juga banyak bergandingan sebagai pengacara dalam majlis-majlis rasmi di istana-istana sejak 2011.

“Walaupun popular sebagai personaliti TV tetapi beliau seorang yang tidak sukakan glamor dan amat merendah diri. Beliau tidak gemar berpeleseran tidak tentu fasal. Sebab itu, tidak pernah terdengar gosip yang tidak elok tentang beliau selama saya mengenalinya,” katanya.

Norashikin yang berasal dari Kuala Lumpur adalah anak bongsu daripada tiga beradik mempunyai dua orang anak, Nur Amanda, 17 dan Adam Salleh, 14 hasil daripada perkahwinan terdahulu beliau dengan seorang juruterbang, Mustapha Kamal Halim.