Menterinya, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak berkata, pe­nam­bahbaikan dan langkah-langkah pengawalan kewangan ber­kenaan dijalankan sejak Jun 2014 bagi memastikan perkara yang sama tidak berulang.

“RTM dan kementerian juga telah menambah baik terma rujukan dan keahlian Jawatankuasa Perolehan Rancangan TV,” kata­nya dalam kenyataan hari ini.

Salleh mengulas Laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berhubung Pengurusan Projek Pembangunan Kandungan Penyiaran Digital di bawah KKMM yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 2 dan dibentangkan di Parlimen pada 16 Jun 2014.

Dalam kenyataan media me­nge­nai laporan itu semalam, Pe­nge­rusi PAC, Datuk Seri Hasan Arifin berkata, KKMM dan RTM perlu memantapkan kawalan terhadap urusan pembayaran serta perolehan membabitkan kandu­ngan penyiaran bagi memastikan rakyat memperoleh manfaat daripada wang dibelanjakan.

Hasan berkata, setiap prosedur dan pekeliling berhubung tatacara kewangan yang disediakan kerajaan perlu dipatuhi sepenuhnya bagi mengelakkan berlaku ketirisan dan penyelewengan.

PAC dalam prosidingnya, antara lain membangkitkan tentang per­belanjaan perolehan program bagi saluran TV1 dan TV2 berjumlah RM43.70 juta adalah di luar skop projek berkenaan tanpa mendapat kelulusan Unit Perancang Ekonomi dan Perbendaharaan.

Sambil menerima baik saranan PAC itu, Salleh menjelaskan, RTM kini memberi sepenuh perhatian dan akan lebih berhati-hati agar sentiasa mematuhi semua prosedur dan pekeliling berhubung ta­ta­cara kewangan.

“Tindakan tatatertib sepertima­na yang telah disyorkan oleh Jawatankuasa Siasatan Khas LKAN (Laporan Ketua Audit Negara) Siri 2/2013 yang ditubuhkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam telah pun diambil,” kata Salleh. – BERNAMA