Penganjuran kejohanan pertama itu disertai lapan pasukan media iaitu Utusan FC, TV3, NSTP SC, The Sun, Bernama, Astro Awani, RTM FC dan Persatuan Jurugambar Profesional Malaysia (MPPA).

Kejohanan itu bermula de­ngan format liga dua pusingan, yang dimenangi RTM manakala Utusan muncul naib juara dan NSTP ketiga daripada enam pasukan sebelum lapan pasukan bersaing merebut Piala Utusan menggunakan format kalah mati.

Juara liga meraih hadiah wang tunai RM3,000, naib juara RM2,000 manakala pemenang tempat ketiga menerima RM1,000. Kesemua pemenang turut mene­rima Sijil Simpanan Premium me­nyamai nilai setiap hadiah wang tunai yang mereka menangi.

Dalam perlawanan akhir me­rebut Piala Utusan di Kompleks Sukan MSN di Setiawangsa di sini hari ini menyaksikan TV3 me­numpaskan Utusan menerusi sepakan penalti 4-3 untuk muncul juara selepas masing-masing terikat 0-0 hingga tamat masa tambahan.

Dengan kemenangan itu TV3 meraih hadiah wang tunai RM1,500 manakala Utusan me­nerima RM1,000. Perlawanan itu turut disaksikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Lokman Hakim Ali; Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak dan Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Zulkefli Hamzah serta penyokong pasukan.

Piala Utusan MFL ditaja oleh syarikat produk kecantikan Almas Beauty & Health selaku penaja utama dan disokong AmBank, Bank Simpanan Nasional (BSN) serta Perbadanan Stadium Malaysia selaku penaja bersama.

Sementara itu, Naib Pengerusi MFL, Sophian Jamaluddin mengharapkan kejohanan ini dapat dite­ruskan pada tahun depan selepas objektif penganjuran edisi pertama itu mendapat sambutan warga media.

“Terima kasih juga kepada pasukan yang bertanding kerana semangat dan komitmen pemain mereka walaupun sibuk dengan tugasan harian. Penganjuran sulung ini nampak berjalan lancar dan MFL akan diteruskan bagi edisi kedua susulan permintaan dari pasukan yang bertanding.

“Pihak kami juga ada me­nerima panggilan dari media lain untuk menyertai MFL tahun hadapan. Terima kasih kepada penaja MFL iaitu Almas kerana sudi menaja edisi pertama kami, begitu juga Perbadanan Stadium Malaysia, AmBank dan BSN.

“Tanpa penaja-penaja ini MFL semestinya tidak dapat digerakkan,” katanya.