Utusan : Semua Mangsa Cedera Terkena Tembakan Stabil
PULAU PINANG, 2 Disember - Jurukamera sambilan Radio Televisyen Malaysia (RTM), Mohamad Amirul Amin Mohamed Amir, 28, yang cedera selepas terkena tembakan yang dilepaskan seorang lelaki di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu semalam kini berada dalam keadaan stabil. Dia kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas menjalani pembedahan untuk mengeluarkan peluru yang mengenai bahu sebelah kirinya.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, selain Amirul, dua lagi mangsa yang turut menjalani pembedahan akibat terkena tembakan dalam insiden sama juga stabil. Menurutnya, pembedahan yang dijalankan untuk mengeluarkan peluru itu telah berjaya dan mereka masih dipantau rapi oleh doktor di HPP.
“Semua mangsa kini stabil dan kita berikan ruang kepada doktor pantau keadaan mereka. Apa yang penting semua selamat,” katanya yang melakukan lawatan di HPP hari ini bersama Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Ghafar Rajab.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.15 malam semalam, seorang ahli perniagaan, Datuk Ong Teik Kwang, 32, dan dua individu lain iaitu M. Senthil, 38, serta Choi Hon Ming, 32, maut selepas terkena tembakan yang dilepaskan oleh pengawal peribadi Teik Kwang.
Insiden itu juga turut mencederakan kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB), Nurul Huda Aziz, 38, Lee Hong Boon, 56, K. Arivarni, 33, Lim Boon Leng, 32, dan Mohamad Amirul Amin yang kebetulan melalui jalan berkenaan.
Sementara itu, wartawan Sinar Harian, Mohd. Iskandar Othman, 27, yang menyaksikan kejadian itu berkata, dia hanya sempat menyelamatkan diri sebaik sahaja melihat Mohamad Amirul Amin terkena tembakan.
Jelasnya, ketika kejadian, mereka menaiki sebuah motosikal menuju Sungai Nibong untuk membuat liputan perasmian Pesta Pulau Pinang sebelum ternampak kemalangan jalan raya berhampiran susur masuk Jambatan Pulau Pinang.
“Kami berhenti di tepi jalan dan Amirul turun untuk melihat kejadian itu sebelum dia tiba-tiba terkena tembakan yang dilepaskan oleh seorang lelaki berhampiran sebuah kereta di tengah laluan itu.
“Saya segera menyelamatkan diri sebelum menghubungi ambulans sebaik sahaja melihat Amirul terbaring kesakitan dengan kesan tembakan di bahu kirinya,” ujarnya.
Sumber : http://www.utusan.com.my