Newspaper Cutting

Utusan : Perak Tidak Sekat Media

Last modified on .

IPOH, 2 Jan - Kerajaan negeri tidak menyekat mana-mana organisasi media daripada membuat liputan di negeri ini walaupun laporan yang dihasilkan tidak memihak kepada pentadbiran negeri. Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, kerajaan negeri sentiasa mengamalkan prinsip demokrasi dan sama sekali tidak mempraktikkan dasar mengajar media berhubung apa yang perlu ditulis dan disiarkan.

Malah, katanya, beliau amat menghargai kerjasama yang diberikan pihak media sehingga membolehkan perkongsian pandangan bagi kebaikan negeri dan rakyat dilakukan.

“Kerajaan negeri bekerja dengan sangat selesa bersama pengamal media dan sejak menjadi Menteri Besar, saya mengamalkan demokrasi dan memberi kebebasan untuk mereka membuat liputan walaupun ada sesetengahnya melaporkan berita berunsur negatif.

“Walau bagaimanapun, bukan semuanya bersifat negatif sahaja, banyak positif yang mana kami sering berkongsi pandangan termasuk menerusi program sarapan yang dilakukan pada setiap bulan.

“Melalui perkongsian itu, kita bertukar pandangan mengenai pelbagai isu termasuk perkara berkaitan rakyat, tambahan lagi pihak media lebih tahu kerana mereka turun ke lapangan untuk membuat laporan,” katanya ketika berucap dalam majlis Malam Media Perak 2016 di Hotel Casuarina@ Meru, di sini malam semalam.

Yang turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan; Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man; Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak; Pengarang Kosmo!, Datuk Baharom Mahusin; Ketua Pengarang Bernama, Datuk Zakaria Abd. Wahab dan Pengerusi Persatuan Pengamal Media Perak (PPMP), Sayed Hesham Syed Idris.

Dalam majlis yang dianjurkan PPMP itu, seramai 200 pengamal media hadir memeriahkan majlis yang bertemakan Glam & Glitter. Dalam majlis tersebut juga, enam wartawan ‘otai’ menerima pengiktirafan khas atas penglibatan paling lama dalam dunia kewartawanan dan kesemua mereka masih aktif hingga kini.

Penerimanya ialah Azizan Hashim (Berita Harian), P. Chandra Sagaran (The Sun), Mazalan Rafji (RTM), Lam Koon Yeu (TV3), Haron Shafie (Suara Pe­rak) dan Hashim P. Mamat (Utusan Malaysia). Terdahulu, Zambry turut menyempurnakan gimik pelancaran Tahun Melawat Perak 2017.

 

Sumber : http://www.utusan.com.my

Print