Newspaper Cutting

Utusan : Muaz Mohamed Sertai Kool FM

Last modified on .

KUALA LUMPUR, 25 Januari - Pengacara terkenal RTM, Muaz Mohamed, 32, yang juga penyampai radio Nasional FM mengambil keputusan untuk beralih angin apabila menerima tawaran menyertai stesen radio Kool FM.

Menurut Muaz, selepas sembilan tahun berkhidmat dengan stesen kerajaan berkenaan, dia dijangka memulakan perkhidmatan di stesen milik Media Prima Berhad itu pada awal Februari ini.

“Mungkin Februari ini saya akan memulakan perkhidmatan di sana,” jawabnya ringkas menerusi aplikasi WhatsApp.

Ketika ditanya segmen yang bakal dikendalikan, Muaz memilih untuk tidak menjawab sebaliknya memberitahu agar menanti kenyataan daripada pihak pengurusan stesen radio tersebut.

Dia yang mula dikenali sejak mengendalikan segmen pagi di stesen Muzik FM itu mengakhiri khidmatnya di RTM berkuat kuasa hari ini dan difahamkan Muaz menyertai stesen tersebut adalah bagi menggantikan Farid yang telah berhijrah ke Manis FM awal bulan ini.

Farid sebelum ini mengendalikan segmen Petang Kool bersama-sama Ikhwan. Selain dikenali sebagai penyampai radio RTM, Muaz turut melakar namanya selaku pengacara utama di stesen berkenaan dan antara rancangan yang pernah dihoskannya ialah Pilih Kasih, Ikon Siarawan serta Bintang RTM.- UTUSAN ONLINE

Sumber : http://www.utusan.com.my

Print