Newspaper Cutting

Utusan : Advokasi Ilmuwan MPN Hari Ini

Last modified on .

KUANTAN, 14 Februari - Isu pencemaran alam sekitar menjadi topik perbincangan dalam program Advokasi Ilmuwan Majlis Profesor Negara (MPN) bersama Utusan Malaysia dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dengan kerjasama Universiti Malaysia Pahang (UMP) di Gambang, dekat sini esok.

UMP dalam satu kenyataan memberitahu, diskusi ilmu bertajuk Pencemaran Alam Sekitar: Tiada Penyelesaian? itu bermula pukul 2 petang dan dijangka dihadiri lebih 500 orang terdiri daripada warga universiti tersebut serta kakitangan pelbagai agensi kerajaan.

Tajuk berkenaan akan dikupas oleh tiga ahli panel iaitu Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMP, Prof. Dr. Mashitah Mohd. Yusoff; Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Rosli Zul dan pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Mazlin Mokhtar manakala Sayed Munawar Sayed Mohd. Mustar dari RTM selaku moderator.

Menurut kenyataan berkenaan, pencemaran alam sekitar boleh berlaku apabila elemen seperti air, udara dan tanah memberi kesan negatif terhadap fungsinya sehingga memudaratkan ekosistem serta mengganggu kehidupan manusia.“Ketua Pegawai Eksekutif MPN, Datuk Dr. Raduan Che Rose dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMP, Prof. Datuk Dr. Rosli Mohd. Yunos dijadualkan hadir,” jelas kenyataan itu.

Kebanyakan elemen pencemaran itu kadangkala memberi kesan terhadap aktiviti-aktiviti yang perlu dilakukan demi kelangsungan hidup termasuk pembangunan penempatan, industri, pertanian dan pembalakan.

“Program ini akan melihat semua aspek dalam menangani isu alam sekitar,” menurut kenyataan itu lagi.

Print