Kesan negatif ­perlombongan bahan mineral berkenaan mendorong kerajaan mengenakan moratorium ke atas semua ­kegiatan tersebut bermula 15 Januari tahun lalu bagi membolehkan satu pelan komprehensif ­penyelesaian ­pencemaran serta aspek ­keselamatan diper­kenalkan.

Hakikatnya, pencemaran alam sekitar disebabkan faktor manusia sama ada disengajakan atau sebaliknya bukanlah isu baharu. Cuma lebih mencuri tumpuan apabila kesannya mengundang bencana alam atau tragedi.

 

Kerajaan telah lama memperkenalkan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memberi tumpuan kepada isu-isu pencemaran domestik. Namun, isu berkenaan seolah-olah tiada penghujungnya. Pencemaran udara, air dan tanah terus berlaku dari semasa ke semasa.

Melihat senario ini, timbul persoalan apakah tiada jalan penyelesaian dalam isu tersebut? Realitinya, harapan untuk melihat isu pencemaran alam sekitar diselesaikan atau memastikan sekurang-kurangnya kesannya berada pada tahap minimum masih ada. Yang pasti, ia memerlukan komitmen, kesedaran dan kerjasama semua pihak.

Antara aspek utama yang perlu diberi penekanan adalah perubahan sikap. Perkara itu ditegaskan oleh pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Mazlin Mokhtar dalam program Advokasi Ilmuwan Majlis Profesor Negara (MPN) bersama Utusan Malaysia dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dengan kerjasama Universiti Malaysia Pahang (UMP) di Dewan Astaka UMP kampus Gambang di Kuantan, baru-baru ini.

Dalam diskusi ilmu ber­tajuk, Pencemaran Alam Sekitar: Tia­da Penyelesaian? itu, Mazlin berkata, masyarakat perlu mempunyai kesedaran sejak di peringkat kanak-kanak supaya kesinambungan rasa cinta terhadap alam sekitar dapat ­diteruskan.

“Di sini wujud cabaran apabila disebut tentang pendidikan kerana kita tidak boleh bergantung kepada pertolongan guru atau pensyarah semata-mata tetapi ibu bapa dan komuniti setempat perlu memainkan peranan,” katanya.

Ahli panel lain ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMP, Prof. Dr. Mashitah Mohd. Yusoff dan Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang, Rosli Zul manakala Sayed Munawar Sayed Mohd. Mustar dari RTM selaku ­moderator.

Menurut Mazlin, pendidikan secara asasnya boleh ­dikategorikan kepada formal, tidak formal dan bukan formal yang mana semua pihak mesti memikirkan bersama cara untuk menangani pencemaran alam sekitar mengikut bidang masing-masing.

Tambah beliau, perubahan sikap juga perlu melibatkan kerajaan kerana cabarannya memerlukan tindakan ­bersepadu pelbagai kementerian.

Dr. Mashitah pula berkata, Jepun, Korea dan Taiwan adalah contoh terbaik yang ­menerapkan pendidikan awal tentang kepentingan menjaga alam sekitar dengan mengaitkan tanggungjawab tersebut kepada kepercayaan atau agama masing-masing.

Di negara-negara berkenaan, katanya, tugas dan tanggungjawab menjaga alam sekitar bermula usia kanak-kanak yang diajar bahawa alam ini bukan milik mereka tetapi dikongsi dengan insan lain.

“Mereka berasakan tanggungjawab itu sangat hebat. Di negara ini, mungkin masyarakat kita tidak melakukan pencemaran semasa berada di dalam kawasan rumah tetapi apabila ­keluar sahaja daripada pintu pagar, dapat dilihat orang membuang sampah di kawasan awam,” ujarnya.

Jelas di sini, kempen pemuliharaan alam sekitar perlu diterapkan lebih awal iaitu di peringkat usia kanak-kanak bak kata pepatah 'melentur buluh biarlah dari rebungnya'.

Satu lagi aspek yang wajar diberi perhatian seperti di­suarakan dalam diskusi ilmu berkenaan adalah penyelarasan atau kerjasama ber­sepadu semua pihak termasuk masyarakat setempat bagi menyelesaikan isu alam sekitar.

Ketiga-tiga ahli panel sependapat peruntukan undang-undang di negara ini mencukupi dalam mengambil tindakan terhadap pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang mencemarkan alam sekitar. Namun, agensi-agensi terlibat perlu berganding bahu dalam menguatkuasakan akta berkaitan di bawah bidang masing-masing.

Mengulas lanjut, Rosli berharap orang ramai tidak me­nuding jari kepada Jabatan Alam Sekitar sahaja jika timbulnya isu melibatkan alam sekitar.

“Bagi menyelesaikan isu alam sekitar, memerlukan kerjasama dan penyelarasan daripada semua agensi yang bertanggungjawab. Kita sudah ada undang-undang dan pelbagai agensi melibatkan isu alam sekitar, sebab itu perlu duduk berbincang melihat perundangan yang ada untuk menyelesaikannya secara bersepadu,” katanya.

Dalam hal ini, Mashitah ­menyarankan sebuah jawatankuasa khas peringkat nasional diketuai Majlis Keselamatan Negara (MKN) ditubuhkan bagi menangani isu alam sekitar di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MPN, Prof. Datuk Dr. Raduan Che Rose yang tertarik dengan saranan itu berkata, itu bermakna isu pencemaran alam sekitar diangkat secara simboliknya sebagai isu keselamatan atau ancaman kepada negara.

 

Sumber : http://www.utusan.com.my