Saiz Teks

A- A A+

Pilihan Warna

A A

settings

A- A A+
A A

Newspaper Cutting

Utusan : Beri Peluang Penuntut Lakukan Kerja Sebenar

Last modified on .

BATU PAHAT, 17 Mac - Penuntut universiti yang menjalani latihan amali di industri wajar didedahkan dengan peluang kerja sebenar supaya mereka memahami dengan lebih mendalam skop tugas yang perlu dilakukan selepas bergelar siswazah.

Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Prof. Dr. Wahid Razzaly berkata, peluang berkenaan membolehkan pihaknya melahirkan siswazah yang kompetitif untuk pasaran kerja bagi memenuhi permintaan industri.

“Penuntut harus merasai apa sebenarnya kerja itu dan mendalami apa yang mereka belajar selama ini, bukannya mereka pergi ke industri dan dianggap sebagai orang yang tiada apa-apa dan akhirnya mereka hanya membuat teh, kopi atau sekadar menghantar surat.

“Saya bukan mahu mengadu kepada industri tetapi maksudnya mari kita duduk bersama-sama untuk berkomunikasi jika ada yang tidak mencukupi kerana ada berlaku penuntut kita tidak diberikan peluang sewajarnya,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas menjadi panel dalam Program Advokasi Ilmuwan Majlis Profesor Negara di UTHM, semalam.

Program dengan kerjasama Utusan Malaysia dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) itu melibatkan perbincangan forum bertajuk Kerjasama Universiti-Industri: Apa Masalahnya? yang turut menampilkan Ketua Program Kejuruteraan Rel UTHM, Prof. Dr. Khalid Hasnan; Presiden dan Ke­tua Pegawai Eksekutif Malaysian Industry-Goverment Group for High Technology (MIGHT), Datuk Dr. Mohd. Yusoff Sulaiman dan Ketua Pegawai Perkhidmatan Infrastruktur Prasarana, Ir. Ahmad Nizam Mohamed Amin selaku panel.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Profesor Negara, Prof. Datuk Dr. Raduan Che Rose dan Penolong Ketua Pengarang Utusan, Datuk Hassan Mohd. Noor turut hadir dalam program yang dihoskan Pengacara RTM, Suhaimi Mohamed.

Walau bagaimanapun, Wahid mengakui terdapat juga penuntut yang menjalani latihan amali tidak mencapai piawaian minimum industri namun pihaknya tetap bertanggungjawab dengan bersemuka untuk memaklumkan langkah susulan mereka bagi 'membaiki' penuntut tersebut sebelum membenarkannya kembali berpraktikal.

“Sebab itu perlunya universiti dan industri sentiasa duduk bersama berbincang kurikulum yang sesuai dan dipersetujui kedua-dua pihak agar kita boleh membaiki kualiti yang dimahukan pihak industri dari semasa ke semasa,” ujarnya.

Dalam pada itu kata beliau, UTHM yang melahirkan kira-kira 1,200 siswazah dalam bidang kejuruteraan setiap tahun kini mempunyai hubungan yang erat dengan lebih 50 peratus pemain industri termasuk di daerah ini dan kawasan lain.

“Maklum balas pihak industri berkenaan siswazah kita juga baik dan rekod menunjukkan lebih 90 peratus daripada mereka ditawarkan bekerja dengan separuh daripadanya berkhidmat dalam sektor swasta yang kita tahu sangat mementingkan kualiti dan tahap kompetitif pekerja,” katanya.

 

 

sumber : http://www.utusan.com.my

Print Email

offcanvas