Newspaper Cutting

Utusan : Raptai Istiadat Pertabalan Agong XV Berjalan Lancar

Last modified on .

KUALA LUMPUR 21 April - Raptai penuh Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong XV, Sultan Muhammad V yang berlangsung di Istana Negara hari ini, berjalan lancar dengan hampir semua persiapan untuk upacara itu mengikut jadual yang ditetapkan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak berkata, raptai terakhir itu bertujuan mengenal pasti sebarang penambahbaikan dan pembe­tulan yang perlu dilakukan menjelang istiadat pertabalan itu pada Isnin depan.

“Alhamdulillah raptai penuh bagi istiadat pertabalan berjalan lancar. Semua sedia maklum istiadat ini adalah satu majlis amat bersejarah dan kita lakukan mengikut tradisi yang biasa dilakukan.

“Saya dipertanggungjawabkan untuk menentukan kelancaran majlis ini dan alhamdulillah de­ngan kerjasama semua pihak kakitangan kerajaan dan istana, kita menyaksikan satu gandingan yang baik sekali untuk menentukan perjalanan akan berlangsung dengan baik,” katanya selepas meninjau perjalanan raptai itu di Istana Negara.

Menurut Salleh yang juga Pengerusi Jawatankuasa Istiadat Pertabalan itu, rakyat boleh menyaksikan upacara bersejarah itu melalui siaran langsung di Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Selepas melafaz sumpah memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong XV pada 13 Disember lepas, Sultan Muhammad V akan ditabalkan sebagai ketua utama negara pada Isnin ini bagi menggantikan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah yang tamat tempoh pemerintahan pada 12 Di­sember 2016. – BERNAMA

 

Sumbe

Print