Menjengah usia 33 tahun dua hari yang lalu, soal jodoh bukan lagi menjadi hal yang mengusutkan kepalanya.Dia pasrah seandainya rahsia Tuhan itu masih belum dapat dirungkai sehingga ke hari ini.

Melihatkan kebanyakan rakan-rakan sebaya sudah memiliki anak-anak dan keluarga masing-masing, ada kala hatinya diketuk rasa sunyi. Tetapi perkara tersebut tidak pernah sesekali memberikan tekanan kepadanya.

“Susah sebenarnya untuk bercakap soal jodoh ketika ini. Bukan saya tidak berkawan dengan mana-mana lelaki tapi untuk sampai ke tahap serius itu belum menjadi kenyataan. Tak ada masalah pun sebenarnya memandangkan saya sendiri tidak terdesak.

“Saya tak bernikah kerana orang lain. Ada orang kata jangan terlalu memilih sangat mengenai jodoh. Maaf, saya memang berkira soal ini. Pilih jodoh bukan macam pilih ikan di pasar, boleh main ambil sahaja, perlu mengetahui segala-galanya tentang pasangan.

“Perkahwinan juga adalah perkongsian. Tiada siapa pun mahu berkongsi hidup dengan orang yang salah,” katanya.

Bersyukur kerana keluarganya tidak pernah mendesak tentang hal yang satu itu, bapanya juga mungkin orang yang paling gembira sekiranya dia masih belum berkeluarga.

Setidaknya, dia masih boleh memberikan tumpuan kepada keluarga selagi masih memegang status bujang.

Mengenai kriteria calon suami pilihan, Farahdhiya mengakui soal rupa bukan lagi menjadi asas pencariannya. Kemungkinan besar, paras rupa juga sudah jauh tertinggal di belakang hal-hal lain yang penting termasuklah soal kematangan.

Suka dengan lelaki yang bijak dan meyakinkan, ini adalah aspek paling penting selain mempunyai kerjaya yang tetap untuk menjaganya.

“Keluarga kena restu, itu sebenarnya yang saya paling utamakan. Bila nak berkahwin, kita akan hidup bersama keluarga besar pasangan itu. Restu mereka juga perlu memandangkan ini adalah azimat yang akan dibawa sampai ke akhir hayat.

“Perkahwinan bukan satu hal yang mudah. Apa yang paling penting saya tak mahu tersalah pilih pasangan,” katanya.

Gembira

BERGELUMANG dalam bidang nyanyian belasan tahun lamanya, dia gembira kerana akhirnya mampu melakukan persembahan istimewa di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur ini, pukul 2.30 petang.

Mengakui berdebar menantikan reaksi peminat terhadap konsert mini pertama itu, dia bagaimanapun gembira kerana peminatnya awal-awal lagi sudah mengesahkan kehadiran untuk bersama-sama meraikan persembahan tersebut.

“Sejak diuar-uarkan sebulan yang lalu, maklum balas yang diterima begitu menggalakkan. Saya berbesar hati apabila kebanyakan peminat sudah membeli tiket dan ia menambahkan adrenalin saya untuk memberikan yang terbaik kepada mereka.

“Ada orang tanya mengapa baru sekarang saya mendapat peluang itu. Jawapan saya mudah, biarlah terlambat sedikit asalkan ada daripada tiada terus. Tentu sahaja ini akan menjadi acara istimewa untuk semua yang hadir nanti,” tambahnya.

Bakal tampil menyanyikan belasan lagu popular termasuklah Bertakhta Di Hati, Pada Dia, Kau Yang Ku Puja dan banyak lagi, Farahdhiya akan diiringi oleh pendatang baharu yang dikenali dengan nama Kris Pat, Wafi dan diiringi oleh Band Patriot selaku pemuzik iringan.

Bercerita mengenai bidang nyanyian pula, dia sedang giat mempromosikan lagu Pada Dia yang juga merupakan lagu hasil ciptaan Sri Kandi dan Hang Nadim.

Rezeki

BERBICARA mengenai kehidupan terkini, Farahdhiya bersyukur kerana rezekinya dalam bidang nyanyian semakin murah sejak menyertai pertandingan Gegar Vaganza musim kedua. Mengakui ada kala tak menang tangan melayan undangan, dia gembira kerana masyarakat menghargai bakat seninya. Pun begitu dalam masa yang sama ada beberapa rakan artis lain yang merungut kekurangan tawaran.

“Dalam hal ini, saya bersyukur kerana rezeki selalu ada. Apa sekali pun yang terjadi, boleh dikatakan saya mengembara ke seluruh negara untuk memenuhi permintaan mereka. Setidaknya saya yakin bidang nyanyian masih lagi memberikan rezeki buat saya.

“Tentang rakan artis yang kurang tawaran tu, saya tak mahu komen apa-apa. Asalkan mereka tidak berputus asa, itu sudah baik. Apa yang paling penting jangan mengalah dengan keadaan,” tambah pengacara untuk rancangan Wira-Wira Sasa untuk siaran RTM ini.

Menyorot kembali perjalanan setahun yang lalu, Farahdhiya mengakui yang dia sudah jarang kelihatan di set penggambaran. Bukan tiada tawaran yang datang tetapi selalunya ditolak dek kerana pertembungan jadual nyanyian.

Tidak dapat menyembunyikan perasaan rindu untuk kembali ke set penggambaran seperti dahulu, dia seboleh-bolehnya cuba sedaya upaya untuk menyelitkan diri sekiranya berpeluang.

“Ini masalah besar bila mendapat tawaran lakonan! Kalau melibatkan jadual penggambaran yang pendek selalunya tiada masalah. Kalau drama bersiri, saya kena tengok dahulu jadual nyanyian. Selalunya berakhir dengan kekecewaan,” katanya tertawa.