Newspaper Cutting

Utusan: Hospital Segamat dinaik taraf hujung tahun

Last modified on .

>SEGAMAT 15 Mei - Projek fasa pertama menaik taraf Hospital Segamat (HS) dijangka bermula hujung tahun ini selepas proses pemilihan kontraktor dibuat oleh Kementerian Kesihatan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM90.5 juta dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) bagi kerja-kerja mening­katkan kemudahan dan keselesaan di hospital berkenaan.

“Mungkin kita akan memanggil 10 syarikat yang berdaftar dan la­yak untuk mengemukakan sebut harga dan hanya satu kontraktor yang menepati kehendak Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kerja Raya (JKR) dipilih melakukan kerja-kerja naik taraf ini.

“Untuk fasa pertama ini, antara kerja-kerja yang terlibat adalah menaik taraf dewan bedah, Unit Rawatan Rapi (ICU) dan wad Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU),” katanya selepas merasmikan Karnival Johor Care (JCare) peringkat negeri di Dataran Segamat, kelmarin.

Menurutnya, secara keseluruhan, kerja-kerja naik taraf HS melibatkan empat fasa dan pada awalnya setiap fasa menelan kos RM100 juta.

Katanya, fasa-fasa lain adalah melibatkan pengambilalihan tanah milik Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk dibina pejabat pengurusan dan kuarters kakitangan hospital yang terletak berse­belahan hospital berkenaan.

“Kerja-kerja naik taraf yang dilakukan oleh kerajaan ini merupakan projek berimpak tinggi dan sebagai salah satu usaha dalam memenuhi keperluan penduduk di daerah ini, sekali gus menawarkan kemudahan kesihatan yang maksimum.

“Ketika ini HS juga menawarkan perkhidmatan dalam 11 bidang kepakaran seperti mata, perubatan, kanak-kanak dan pembedahan serta kerja-kerja naik taraf ini akan membantu HS menjadi hospital pakar sepenuhnya nanti,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/ 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Print