Newspaper Cutting

Utusan : Ana Dahlia 
Seronok Jadi Hos

Last modified on .

“TENGOKLAH kulit Ana ini gelap, baru habis penggambaran program travelog tentang pulau-pulau di Malaysia,” kataAna Dahlia sewaktu kami bertemu di Wangsa Maju, Kuala Lumpur baru-baru ini. Memang nampak berbeza warna kulitnya tapi kata Ana, dia berpuas hati kerana dapat melihat keindahan beberapa buah pulau yang ada di tanah air.

Bercerita lanjut Ana memberitahu, buat pertama kali dia memikul tanggungjawab sebagai hos untuk program travelog, Kelana Pulau yang diterbitkan sebanyak 13 episod yang akan disiarkan selama setengah jam di saluran RTM.

“Menjadi pengacara satu pengalaman baharu untuk saya. Kebanyakan aktiviti yang saya lakukan dalam program Kelana Pulau adalah pengalaman pertama bagi saya. Bayangkan saya memang tak tahu berenang tapi demi menjayakan program ini saya buat selam skuba untuk melihat sendiri keindahan dasar laut.

“Memang teruja sebab selama ini dengar orang bercerita sahaja, sekarang saya yang buat sendiri. Program Kelana Pulau cuba menonjolkan keindahan pulau-pulau yang terdapat di Malaysia.

“Dalam erti kata lain, tak perlu pergi jauh-jauh, di sini pun ada pulau-pulau yang indah. Antara pulau yang kami pergi adalah Redang, Tioman, Langkawi dan tiga buah pulau di Sabah,” cerita Ana tentang program yang arahan suaminya, Asyraf Jurey dan diterbitkan oleh World Evolution Brain (M) Sdn. Bhd.

Tambah Ana, objektif utama Kelana Pulau selain menonjolkan keindahan semula jadi adalah untuk membantu mereka yang mahu kembara secara bajet.

“Kelana Pulau bukan sekadar tunjuk keindahan tapi juga memperkenal inap desa atau hotel yang bersesuaian mengikut bajet. Selain memberitahu kos penginapan, program ini juga akan mengetengahkan aktiviti yang terdapat di kawasan sekitar.

“Kami mahu kalau orang pergi ke sesuatu tempat itu, mereka tidak bosan. Contohnya, kalau yang pergi sekeluarga, mungkin ada yang nak pergi skuba dan yang lain boleh buat aktiviti lain agar tidak bosan. Kiranya Kelana Pulau ini sebagai panduan untuk orang pergi melancong dengan kos yang murah,” katanya.

Jelas Ana, dia tidak menghadapi masalah sepanjang sebulan menjalani penggambaran kerana teruja dengan perkara yang dilakukan. Dia juga tidak kekok untuk memberi info-info menarik tentang tempat yang dilawati.

“Saya tidak terikut sangat dengan skrip kerana Kelana Pulau adalah program santai. Cuma fakta tentang tempat berkenaan perlu diterangkan dengan jelas agar penonton mudah faham,” katanya.

Kerjaya baharu

Ternyata pengalaman sebagai hos mendorong Ana Dahlia untuk mencuba pengacaraan bagi progam wanita pula. Katanya, jika diberi peluang untuk mengendali program bersifat kewanitaan, dia tidak akan menolak.

“Saya suka mencuba sesuatu yang baharu. Macam menjadi hos Kelana Pulau, saya suka kerana saya jenis lasak dan semua aktiviti saya lakukan sendiri. Begitu juga kalau diberi peluang untuk buat program wanita, sudah pasti saya terima kerana dapat berkongsi pengalaman dengan orang ramai.

“Namun begitu saya tetap tidak akan meninggalkan bidang lakonan. Apa salahnya saya buat pelbagai perkara, janji saya suka. Kalau ada watak yang bersesuaian, tentu saya terima dan janji jadual diatur dengan betul,” katanya.

Satu lagi kerja baharu yang dilakukan oleh Ana Dahlia atau nama sebenarnya, Diyana Mastura Jaafar adalah bertindak sebagai penerbit eksekutif untuk telefilem Dendam Yang Tak Sudah, arahan Datuk Jurey Latiff Rosley.

“Saya bersyukur kerana suami terlibat dalam bidang yang sama, jadi kami tidak ada masalah. Dia banyak memberi galakan kepada saya mencuba sesuatu yang baharu. Begitu juga dengan kerja-kerja di belakang tabir, sesekali saya buat juga.

“Bukan selalu saya berada di lokasi penggambaran kalau bekerja di belakang tabir. Saya masih boleh buat kerja-kerja lain, janji pandai atur jadual,” katanya terus-terang.

Ana Dahlia dan Asyraf telah mendirikan rumah tangga pada 31 Ogos 2016 dan kali ini merupakan Syawal pertama mereka sebagai suami isteri. Katanya, dia tidak kisah beraya di mana asalkan bersama-sama suami.

“Saya ikutkan saja, kalau Asyraf nak beraya di Kuala Lumpur, di situlah saya. Kalau beraya di kampung, lagi seronok kerana kampung suami di Lenggong, sedangkan saya di Taiping, Perak. Saya serah kepada suami.

“Apapun raya kali ini saya sedih kerana adik kembar bongsu baru saja meninggal Disember lalu kerana kemalangan. Arwah merupakan adik yang rapat dengan saya dan pasti akan terasa kerana raya kali ini tanpa dia,” yang pasti sedih bila bercerita tentang adiknya, Muhamad Faiz Hafiz.

 

Sumber : http://www.utusan.com.my

Print