Newspaper Cutting

Utusan : KMJ Ziarah Agensi Kerajaan Agih Makanan Sahur

Last modified on .

JOHOR BAHRU, 12 Jun – Kelab Media Johor (KMJ) buat tahun ketiga berturut-turut menganjurkan pro­gram Singgah Sahur ke beberapa agensi kerajaan di sekitar bandar raya ini.

Sebanyak 18 kereta yang membabitkan kira-kira 50 ahli KMJ yang diketuai Presidennya, Mohamad Fauzi Ishak berkonvoi me­nuju ke tiga destinasi dipilih bagi mengagihkan sajian sahur, iaitu ayam goreng KFC tajaan Johor Corporation (JCorp) bermula pukul 12.30 tengah malam, baru-baru ini.

Tiga destinasi dikunjungi ialah Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang, Hospital Pakar KPJ Pasir Gudang dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam.

Selain petugas Utusan Malaysia, antara wakil media yang turut menyertai konvoi berkenaan termasuk Kosmo, Berita Harian, New Straits Times, Sinar Harian, RTM, Astro Awani, Bernama, The Star dan Unit Media dan Komunikasi Pejabat Menteri Besar Johor (MedKom).

Peserta konvoi yang tiba di lokasi pertama, iaitu Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang disambut Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat negeri ini, Mohd. Yusof Mohd. Gunnos dan 20 anggota yang bertugas.

Selesai mengedarkan makanan untuk bersahur, konvoi diteruskan ke Hospital Pakar KPJ Pasir Gudang dan disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Azhar Abdullah. Konvoi kemudian meneruskan misi ke destinasi terakhir, iaitu IPD Seri Alam dan ketibaan petugas media turut diraikan oleh Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Zakaria Ahmad.

Yang turut hadir, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Jokhiri Abd. Aiz dan Timbalan Pengurus Komunikasi Strategik JCorp, Ainuddin Aliff Salehuden. Sementara itu, Mohamad Fauzi bersyukur kerana program berkenaan berjalan lancar dan mendapat kerjasama baik daripada pihak bomba, KPJ dan polis.

 

 

Sumber : http://www.utusan.com.my

Print