Sebelum itu, dunia penyiaran tanah air telah mengangkat namanya sebagai salah seorang penyampai berita tv yang popular dan versatile menerusi saluran Televisyen
Malaysia sejak awal tahun 1970-an.

Saluran tv itu yang kemudiannya berada di bawah badan penyiaran yang kini dikenali sebagai Radio Televisyen Malaysia (RTM) juga telah melebarkan populariti beliau sebagai pengacara majlis. 

Namun, ‘suara emas’ yang dimiliki Ramly paling sukar dilupakan dalam dunia pengiklanan berbanding wajahnya, apatah lagi selepas beliau berhenti kerja sebagai penyampai berita tv pada tahun 1982.

 

Menurut selebriti berusia 72 tahun ini, meskipun sudah lebih tiga dekad tidak muncul membaca berita di tv, tetapi kredibiliti suaranya masih diyakini ramai dalam dunia pengiklanan tempatan.

“Fizikal saya mungkin sudah berubah kerana faktor usia hingga ramai penonton yang sudah lupa dengan raut muka saya, tetapi alhamdulillah suara saya masih sama macam dulu juga.

“Sehingga kini masih ada pengiklan yang mahu menggunakan suara saya dalam iklan-iklan di radio dan tv walaupun ada ramai peminjam suara yang baharu,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Beliau ditemui di kediamannya di Batu Caves, Selangor, baru-baru ini bagi berkongsi serta mengimbau nostalgianya terbabit dalam bidang penyiaran di negara ini sejak tahun 1969. Selain iklan, suara Ramly juga banyak digunakan bagi mempromosikan rancangan-rancangan baharu di saluran tv seperti Astro Oasis menyebabkan ‘suara emas’ ini seolah-olah tidak luput ditelan zaman.

Terbaharu, suara beliau telah digunakan sebagai suara latar dalam pengucapan puisi Usman Awang berjudul Duri dan Api yang digunakan dalam sebuah dokumentari khas untuk sukan paralimpik. Meskipun tidak seaktif dulu, namun bapa kepada empat anak perempuan, Norlyzma, 45, Intan Norlyana, 40, Nor Lysha, 38, dan Nor Elynna, 35, ini tidak pernah jemu dalam bidang tersebut.

Malah, beliau sentiasa mengikuti perkembangan dalam bidang pembacaan berita di kaca-kaca tv termasuk di stesen-stesen tv kerajaan dan juga swasta kerana minatnya yang mendalam itu.

“Saya dapati ramai pengacara rancangan tv generasi baharu hari ini yang seolah-olah telah ‘merogol’ bahasa Melayu apabila bahasa-bahasa yang digunakan tidak sesuai dan kurang ajar bunyinya.

“Contohnya, penggunaan perkataan seperti ‘engkau orang’ yang sepatutnya digantikan dengan kata ganti diri anda atau saudara. Penerbit rancangan pula seakan-akan tidak peka dalam isu ini,” ujarnya.

Pada masa sama, figura dengan nama sebenar Mohd. Ramly Abu Bakar yang juga datuk kepada lapan orang cucu ini turut mencadangkan agar golongan terbabit diberi pendedahan yang sewajarnya.

Beliau yang berasal dari Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur, mencadangkan agar setiap stesen tv menganjurkan lebih banyak kursus bagi meningkatkan lagi kualiti para penyampai di kaca tv mereka.

Mengimbas kenangan lalu, beliau amat berterima kasih kepada bekas kakitangan veteran RTM, Jamsari Muhamad yang merupakan antara individu awal membawanya ke bidang tersebut. Pada masa sama, Ramly tidak menafikan selain minat dan bakat, inisiatif serta komitmen yang tinggi perlu ditunjukkan oleh mana-mana penyampai berita dan pengacara agar berdaya maju.

“Jamsari Muhamad banyak memberi peluang kepada saya terbabit dalam drama-drama radio di RTM sebelum saya menjadi pembaca berita tv, pengacara majlis dan terbabit dalam dunia pengiklanan.

“Sewaktu menjadi pembaca berita tv, saya banyak membuat kajian dan belajar dari saluran tv seperti BBC London dan Suara Indonesia selain mengambil kursus dalam bidang kewartawanan,” katanya.

Ramai peminat yang mungkin kurang menyedari, beliau juga pernah berlakon bersama Allahyarham Tan Sri P. Ramlee menerusi filem berjudul Gagak Hitam dengan melakonkan watak pembaca berita.

Selain itu, beliau turut pernah berlakon dalam filem bertajuk Menanti Hari Esok arahan dan lakonan Allahyarham Tan Sri Jins Shamsudin pada tahun 1977 dengan melakonkan watak Dr. Latif.

Tambah Ramly, sepanjang menjadi pengacara majlis, beliau telah mengacarakan ratusan majlis yang berprestij termasuklah yang dianjurkan oleh kerabat diraja dan juga anjuran pihak-pihak korporat.

Antara pengalaman yang beliau sukar lupakan adalah sewaktu mengacarakan satu majlis sebelum perlawanan tinju Muhammad Ali dan Joe Bugner di Stadium Negara, Kuala Lumpur pada 30 Jun 1975.

“Sampai sekarang bidang penyiaran terutama dalam bidang membaca berita tv dan pengiklanan telah menjadi darah daging saya dan saya sedia mencurahkan pengalaman itu kepada mereka yang sudi.

“Tetapi sayangnya, pihak-pihak stesen tv kita seakan-akan tidak menghargai atau mengambil peluang menimba pengalaman daripada orang veteran seperti saya yang masih lagi hidup,” ujarnya.