Saiz Teks

A- A A+

Pilihan Warna

A A

settings

A- A A+
A A

Siaran Media

SIARAN MEDIA - “Another Time”

Last modified on .

 

Filem Iran, “Another Time” Kisah Dugaan Terima Takdir Allah di TV2

 

Kepada penggemar filem-filem asing yang jarang mendapat tempat ditayangkan menerusi saluran TV perdana, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyediakan slot khas, “Layar Asia” menerusi saluran TV2 yang menjanjikan tayangan filem khas dari negara-negara terpilih.

Terbaharu, RTM menyiarkan filem terbitan negara Iran tahun 2016 bertajuk “Another Time” pada 16 Mac ini, pukul 10.30 malam di TV2. Filem kekeluargaan ini mengangkat emosi pergolakkan dalam diri seorang bapa bila anak gadisnya mengandung luar nikah dan pada masa sama dia dibelenggu tekanan tentang penerimaan masyarakat sekelilingnya.

Plot ceritanya bermula dengan watak lelaki bernama Ghadir, seorang aktivis telah dipenjarakan selama setahun kerana menyertai tunjuk perasaan membantah majikannya yang gagal melunaskan gaji tertangguh kepada para pekerjanya.

Setahun berlalu dan Ghadir dibebaskan. Dia dengan gembiranya pulang ke pangkuan keluarga yang amat dirinduinya selama ini. Namun jangkaannya silap. Rupa-rupanya ada masalah besar yang menantinya di rumah. Anak gadisnya, Somayeh telah melahirkan seorang bayi lelaki hasil perlakuan sumbang dengan seorang lelaki yang dirahsiakan identitinya. Sementara itu isterinya Laleh mengutamakan kesihatan Somayeh dan cucunya.

Ghadir terus memujuk Laleh untuk mengetahui identiti lelaki yang bertanggungjawab melakukan perbuatan tersebut. Apatahlagi perbuatan anak gadisnya itu telah mendapat respons negatif daripada keluarga dan masyarakat.  

Akibat malu, Ghadir telah memukul Somayeh bertalu-talu secara berterusan dan mengurungnya di dalam sebuah bilik tanpa memberi makanan yang mencukupi sehingga terpaksa mendapat rawatan di hospital. Selain daripada itu berlaku pergaduhan dan pukul memukul di antara dua orang lelaki di hospital kerana salah faham dan gangguan emosi yang tidak terkawal.

Kemuncak kemarahannya Ghadir bertindak di luar kawalan cuba untuk membunuh cucunya dengan mencampakkannya ke dalam sebuah sungai. Sementara itu adiknya memarahi Somayeh kerana terpaksa menjaga bayinya sehingga dia terpaksa ponteng sekolah dan mengganggu kerja hariannya.

Tertekan dengan apa yang berlaku, Ghadir mengancam Laleh dengan perkataan yang kasar dan bertindak menghalau isterinya itu keluar dari rumah mereka. Masyarakat sekeliling juga mengeluarkan kata-kata ancaman kerana perbuatan seumpama itu dianggap kesalahan yang tidak boleh dimaafkan.

Malu dengan kejadian itu Ghadir mahu menyerahkan cucunya kepada sebuah keluarga angkat ketika Somayeh menerima rawatan di hospital. Somayeh tidak setuju dengan tindakan bapanya itu menuntut anaknya kembali dan bersedia membuka mulut.

Di penghujungnya adakah Ghadir dan Somayeh menerima kenyataan dengan kejadian yang menimpa mereka sebagai takdir? Apakah Somayeh rela menyerahkan anaknya kepada keluarga angkat demi masa depan anaknya yang lebih terjamin?

Filem arahan Nahid Hassanzadeh ini dibintangi oleh Yasaman Nosrati, Fatemah Mortazi, Mansour Nobakht, Majid Potki, Fariba Khademi, Shaghayegh Kamandi dan Farimah Bandpey.

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

- ### -

 

Print Email

offcanvas