Saiz Teks

A- A A+

Pilihan Warna

A A

settings

A- A A+
A A

Siaran Media

SIARAN MEDIA - Cikgu Pencen

Last modified on .

Kisah “Cikgu Pencen” Bertemu Jodoh di TV1

 

Berdepan dengan situasi fasa bersara daripada melalui kehidupan seharian berada di sekolah bergelar pendidik membuatkan Cikgu Razali mempunyai banyak masa terluang untuk dirinya sendiri kini. Apatahlagi dengan status duda yang disandangnya menyebabkan adakalanya dia terfikir untuk kembali mencari jodoh dan mendirikan rumahtangga semula.

Disampaikan dalam genre komedi, kisah suka duka dialami guru bersara ini disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dalam telemovie menggunakan tajuk “Cikgu Pencen” menemui penonton pada 21 Julai ini, pukul 10.05 pagi di TV1.

Menampilkan pelakon Ridzuan Hashim menghidupkan watak utama sebagai Cikgu Razali, ia turut dibintangi pelakon Bella Dally, Rosnah Johari, Siti Fazurina, Fara Hazel dan Ziema Din.

Perjalanan ceritanya mengaitkan tentang watak Cikgu Razali yang merupakan seorang pesara guru. Dia yang telah lama menduda kini banyak menghabiskan masa beribadat di surau yang terletak berhampiran rumahnya.

Kisah berubah setelah Cikgu Razali bertemu dengan gadis cantik bernama Fatihah di kampungnya. Ketika itu Fatihah secara kebetulan datang meminta bantuan daripada Cikgu Razali untuk menukarkan tayar keretanya yang pancit di hadapan surau.

Sejak kejadian itu, hubungan Cikgu Razali dan Fatihah menjadi semakin rapat setelah Fatihah berterus-terang menyatakan dia tidak memilih dalam mencari calon suami. Ini ditambah pula Fatihah tidak dimaklumkan yang Aiman, teman lelaki Fatihah yang sebenarnya sudah pun berkahwin.

Cikgu Razali memulakan langkah pertama dengan meminta bantuan anaknya, Aizat bersama menantunya, Aisyah, untuk ke rumah Cikgu Sabariah, ibu Fatihah bagi menyatakan hasrat meminang gadis pujaannya itu.

Malangnya, Cikgu Sabariah menolak pinangan tersebut kerana perbezaan usia antara Fatihah dan Cikgu Razali yang amat jauh. Boleh diumpamakan bagai ayah dengan anak. Situasi itu membuatkan Cikgu Razali dan Fatihah sama-sama kecewa.

Namun sebaliknya berlaku, memandangkan Fatihah akan pulang ke Kuala Lumpur, Fatihah bimbang akan ibunya tinggal keseorangan. Sakit pening ibunya perlukan seseorang untuk sentiasa berada di sisi menjaga.

Ketika itu secara spontan terlintas di fikiran Fatihah dan adiknya, Fatimah, mencadangkan untuk menyatukan ibunya dengan Cikgu Razali. Fatihah juga ketika itu sudah redha dirinya bukanlah jodoh yang sesuai dengan Cikgu Razali.

Akhirnya, dengan bantuan Aizat dan Aisyah, Cikgu Razali bersetuju untuk berkahwin dengan Cikgu Sabariah. Namun adakah Cikgu Sabariah bersedia menerima Cikgu Razali sebagai suaminya? Apakah kesudahan cerita ini?

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

- ### -

Print Email

offcanvas