Siaran Media

SIARAN MEDIA - RTM Siar Tiga Telemovie Khas Hari Pekerja

Last modified on .

 

RTM Siar Tiga Telemovie Khas Hari Pekerja

 

Ketika seluruh dunia masih lagi berdepan dengan ancaman Covid-19 yang memerlukan kepada komitmen masyarakat untuk mengekalkan penjarakan sosial bagi mengurangkan kadar jangkitan, sambutan Hari Pekerja tanggal 1 Mei terus diraikan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dengan menyiarkan tiga telemovie khas menghargai golongan pekerja.  

Tarikh 1 Mei RTM tampil dengan telemovie diberi tajuk “Bila Mawar Kembali Berbunga” pukul 3.00 petang dan “Bila Larut Malam” disiarkan pukul 9.30 malam yang kedua-duanya menemui penonton TV2. Esoknya pula 2 Mei 2020, pukul 10.00 malam di TV1 saksikan “Waiduri Di Sebalik Pintu”.

Ada pengajaran yang realitinya berlaku dalam kalangan kita ketika ini bila mana seseorang itu diuji dengan situasi dibuang kerja ketika ini. Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga kerana berdepan dengan cabaran yang bukan sedikit apatahlagi bila yang kehilangan kerja itu tunggak keluarga yang keluar mencari nafkah.

Pengisian ini dikongsikan dalam telemovie “Bila Mawar Kembali Berbunga” yang mengisahkan kehidupan Dania, Awien dan Mirrah yang masing-masing menerima impak apabila syarikat tempat mereka bekerja terpaksa menghentikan perkhidmatan mereka. Dalam masa yang sama ketiga-tiga mereka mempunyai masalah yang lain yang menyebabkan mereka berdepan dengan dugaan yang berat dalam menangani masalah tersebut. Namun setiap kesulitan itu pasti ada jalan penyelesaiannya. Telemovie ini menampilkan pelakon Aisyah Azman, Aliff Hadi, Husna Mustafa dan Anne Mosha.

Begitu juga konflik dalam jalan cerita “Bila Larut Malam” dimana watak Nordin lakonan Idris Khan seorang peronda lebuhraya berdepan dengan trauma apabila isterinya Julia maut dalam kemalangan jalan raya. Anaknya Ryan (Harith Haziq) selamat namun cedera parah dan memerlukan kos rawatan yang mahal.

Sejak dari itu, pelbagai bayangan pelik mengenai isterinya muncul di fikiran Nordin. Lebuhraya menjadi satu laluan sukar buat Nordin tetapi memandangkan anaknya yang memerlukan perbelanjaan yang besar, Nordin meneruskan kerjayanya sebagai peronda lebuhraya. Mampukah Nordin terus bertahan demi insan disayanginya?

Menampilkan gandingan mantap pelakon Nur Risteena, dan Redza Rosli, dalam “Waiduri Di Sebalik Pintu” arahan Din Glamour ini turut dibintangi oleh Arash Mohd, Laila Nasir dan Kuza.

Kisahnya bermula dengan memperkenalkan watak Umar yang bekerja di kedai permaidani milik En. Syed manakala ibunya, Mak Cik Bibah membuka kedai barangan perkahwinan. Ayu, seorang kenalan Umar yang bekerja di kedai berhampiran, sering keluar makan bersama Umar dan menaruh perasaan pada beliau.

Datin Suria menempah permaidani di kedai En. Syed dan Umar terlihat anak Datin iaitu Waiduri yang membuatkannya terpaku dengan kecantikan beliau. Umar gembira apabila sudah beberapa kali bertemu dengan Waiduri atas urusan tempahan permaidani ibunya.

Dato’ Sulaiman, suami kepada Datin Suria terkejut apabila terserempak dengan Mak Cik Bibah yang merupakan kekasihnya yang terpisah sekian lama. Datin Suria bersemuka dengan Mak Cik Bibah dan kemudiannya membatalkan tempahan permaidani dengan En. Syed.

Kedai permaidani En. Syed juga telah digeledah dan Umar mengesyaki ianya angkara Datin Suria. Dato’ Sulaiman mendedahkan rahsia silam bahawa Mak Cik Bibah sebenarnya telah dianiaya oleh ibu Datin Suria ketika Mak Cik Bibah hampir bertunang dengannya.

Datin Suria terkejut selepas mendengar penjelasan suaminya. Beliau berasa kesal dan terharu dengan pengorbanan Mak Cik Bibah serta segera bertemu Mak Cik Bibah untuk meminta maaf. Mereka juga bersetuju untuk menjodohkan anak mereka iaitu Umar bersama Waiduri yang menggembirakan semua pihak. Namun adakah hasrat mereka kesampaian?

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

- ### -

Print