Saiz Teks

A- A A+

Pilihan Warna

A A

settings

A- A A+
A A

Siaran Media

SIARAN MEDIA - “From France To Italy 2”

Dikemaskini pada .

“From France To Italy 2” Tonjol Lebih Meluas Destinasi Indah Perancis dan Itali di TV Okey

 

Mengekalkan hos pelakon cantik Sharifah Amani dalam musim kedua siarannya, program “From France To Italy” yang menonjolkan keunikan destinasi pelancongan di Perancis dan Itali kembali menemui penonton Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk musim yang kedua.

13 episod From France To Italy 2” mulai 26 Julai ini, setiap Jumaat, pukul 6.00 petang di saluran TV Okey membawa perkongsian momen Sharifah Amani berlepas dari Kuala Lumpur dan singgah di Abu Dhabi sebelum meneruskan perjalanan ke Paris, Perancis. Terus melawat Menara Eiffel dan sempat meninjau Kotaraya Paris dari atas menara tersebut. Beliau kemudiannya ke Jambatan Elexendre III dan ke Taman Tuiliries iaitu tempat warga Paris besantai dan beriadah. Malamnya di Menara Eiffel menikmati cahaya yang diberi jolokan ' City of Lights.'

Sharifah Amani berkongsi cerita Luthasa, nama asal Paris dan melawat Muzium Louvre, Muzium terbesar di dunia. Di sinilah tergantungnya gambar Monalisa hasil karya Leornado Da Vinci. Kemudian beliau ke Notre Dame Paris dan seterusnya menikmati keindahan matahari terbenam di Bangunan Lui Micheal Square yang terletak di Bukit Montematre Bassilica iaitu titik tertinggi di Kota Paris.

Perjalanan di teruskan ke Dijon yang terkenal dengan istana peninggalan Duke of Burgundy yang memerintah di sekitar kurun yang ke 11 kemudiannya ke Menara Philippe Le Bon turut menjadi tarikan pengunjung. Hos mencuba flying fox di Taman Reakrasi Ecodrome Parc De La Colombiere iaitu sebuah taman awam yang menyediakan kemudahan sukan lasak. Amani turut meninjau sekitar Dijon yang kaya dengan kesan-kesan sejarahnya di samping menikmati suasananya yang tenang dan masyarakatnya yang peramah.

Meneroka keindahan Strasbourg, bandar terletak antara Perancis dan Jerman yang hanya dipisahkan oleh Sungai Rein yang terpanjang di Benua Eropah. Beliau singgah di sebuah pekan kecil Eguisheim. Pekan ini mendapat pengiktirafan masyarakat eropah dengan menggondol beberapa anugerah berprestij di peringkat eropah. Mengakhiri lawatannya di pekan ini, hos berpengalaman menaiki autogiro iaitu sejenis helikopter kecil berkapasiti dua orang penumpang meninjau pemandangan pekan dan sekitarnya dari udara.

Perjalanannya menuju ke Kota Runtuhan Pompeii yang telah diwartakan sebagai tapak warisan dunia oleh UNESCO. Ia menerima seramai 2.5 juta pelancong pada setiap tahun. Kota ini musnah akibat letusan Gunung Berapi Vesuvius yang telah meranapkan bangunan dan penduduknya seramai 11 ribu orang. Hos telah menziarahi beberapa lokasi menarik di kota ini iaitu di Quadri Portico Del Teatre yang menempatkan tiga buah teater yang mempunyai peranannya yang berbeza. Pengairan yang baik, penempatan yang tersusun serta mempunyai sebuah pelabuhan dagang.

Meneroka Salerno dan singgah seketika di Pekan Ravello. Pekan ini telah dibuka pada abad ke 5 oleh imigrasi dari Eropah yang melarikan diri daripada serangan puak Barbarian. Pekan Ravello ini mempunyai jajaran pantai yang memukau dan pemandangan yang cukup indah. Di sini juga terdapat Villa Rufola yang dibina pada abad ke 13 oleh Nicola Rufola dengan bentuk senibinanya adalah gabungan Islam dan Normandy. Dia ke Taman Giardano Della Minerva yang menempatkan berbagai jenis tanaman herba. Taman ini sebelumnya adalah tapak Sekolah Perubatan Salerno iaitu sebuah sekolah perubatan yang tertua di dunia.

Dengan menaiki feri menuju ke Pulau Sicily iaitu pulau terbesar yang terletak di selatan Itali. Beliau kemudiannya ke Messina dan melawat Menara Jam Katederal Messina. Jam ini dicipta oleh Montino Mantanini pada tahun 1933. Keistimewaan jam ini ialah ia akan mengeluarkan suara ngauman singa, kokokan ayam dan pusingan patung manusia tepat pada jam 12 tengah hari pada setiap hari.

Meneruskan pengembaraan ke Catania, pekan kedua terbesar di Sicily meninjau secara lebih dekat gaya hidup masyarakat tempatan berurus niaga di Pasar Catania. Hos kemudiannya meneruskan perjalanannya ke Taormina dengan menaiki kereta kabel untuk menikmati panorama yang mempesonakan. Amani menerokai keunikan Kota Palermo mengunjungi Pasar Ballaro yang menyediakan berbagai jenis barangan keperluan harian seperti makanan laut, sayur-sayuran, buah-buahan dan juga pelbagai jenis makanan. Pasar ini dikatakan telah dibuka sejak 1000 tahun dahulu oleh orang-orang Arab Afrika Utara. Kota Palermo ini sering bertukar pemerintahan. Oleh sebab itu pengaruh Islam dan Normandy banyak mempengaruhi dalam senibina bangunannya.

Dalam episod akhir Amani mengupas sepintas lalu berkenaan hasil lawatannya ke Perancis dan Itali bermula semasa berlepas dari KLIA ke Abu Dhabi dan seterusnya ke Paris, Dijon, Strasbourg, Equisheim di Perancis dan Naples, Pompeii, Pekan Ravello, Almafi Coast, Salerno, Messina, Catania dan Palermo di Itali. Beliau mengenang kembali tempat-tempat bersejarah, pasar-pasar harian, teater, istana-istana lama dengan bentuk senibina dan ukirannya yang tak lekang dek panas dan tak luput dek hujan serta tempat-tempat lain yang menggamit para pelancong mengunjunginya.

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

- ### -

Cetak Emel

offcanvas