Saiz Teks

A- A A+

Pilihan Warna

A A

settings

A- A A+
A A

Latar Belakang

Dikemaskini pada .

SEJARAH radio di Malaysia bermula pada 1921 apabila Al Birch, seorang jurutera elektrik kerajaan Johor membawa set radio pertama ke negara ini.Beliau kemudiannya menubuhkan Persatuan Wireless Johor yang memulakan siarannya melalui gelombang 300 meter. Beliau kemudian menubuhkan persatuan serupa di Pulau Pinang dan Persatuan Wireless Malaysia di Kuala Lumpur.

Pada 1930, Sir Earl daripada Lembaga Pelabuhan Singapura melancarkan siaran gelombang pendek setiap dua minggu sama ada pada hari Ahad atau Rabu. Usaha itu kemudian diteruskan oleh Persatuan Wireless Malaysia, yang melancarkan siarannya dari Bukit Petaling, Kuala Lumpur melalui gelombang 325 meter. Ini diikuti usaha Sir Shenton Thomas yang membuka Studio Perbadanan Penyiaran British dengan menggunakan

pemancarnya di Caldecott Hill, Singapura pada 11 Mac 1937. Seterusnya Perbadanan Penyiaran British Malaya diambil alih oleh Negeri-Negeri Selat dan menjadi sebahagian daripada Kementerian Penerangan British yang lebih dikenali dengan nama Perbadanan Penyiaran Malaya.

Pada 1942, berikutan pendudukan Jepun di Tanah Melayu dan tamatnya era pemerintahan Britian di Singapura, Jepun telah mengambil alih saluran radio sedia ada dan memperkenalkan saluran radio di Pulau Pinang, Melaka, Kuala Lumpur, Seremban dan Singapura untuk menyiarkan propaganda mereka. Bagaimanapun, pada 1943, British kembali berkuasa dan mengambil allih semula stesen-stesen radio tersebut.

Pada 1 April 1946, Jabatan Penyiaran ditubuhkan di Singapura. Pembangunan perkhidmatan radio dilihat bertambah penting apabila darurat diisytiharkan pada 1948. Pada awal 1950-an, penyiaran di Malaya beroperasi sementara di Jalan Young, Kuala Lumpur (kini dikenali Jalan Cenderasari ) dan pada 1956 pula berpindah ke Rumah Persekutuan Kuala Lumpur. Di sini, bidang penyiaran di Malaysia berkembang dan beberapa stesen radio kemudian diwujudkan di seluruh Malaysia termasuk di Sabah dan Sarawak.

Pada tahun 1960, buat pertama kalinya iklan komersial disiarkan di radio dan ia menjadi sumber pendapatan baharu kerajaan. Ketika Malaysia dibentuk pada 16 September 1963, juruhebah bertugas menggunakan "INILAH RADIO MALAYSIA" dijadikan pengenalan oleh juruhebah bertugas ketika . Bidang penyiaran membuka satu lagi lembaran dengan Angkasapuri yang memulakan siarannya pada 6 Oktober 1969.

Radio dan televisyen kemudian bergabung di bawah Kementerian Penerangan. Pertumbuhan saluran pertama, Rangkaian Satu, mengggalakkan pembentukan saluran kedua pada 17 November 1969. Di Kompleks Angkasapuri, pembangunan pesat berlaku di bidang penyiaran sama ada radio atau televisyen. Rangkaian radio nasional bermula 24 jam untuk memberi perkhidmatan kepada semua golongan pendengar,terutama yang bekerja malam.

Media elektronik adalah sumber penting menerima dan menyebarkan maklumat kerana ia pantas, murah dan dapat disampaikan secara langsung kepada pendengar. Oleh itu, RTM berpendapat wajar untuk meletakkan usaha menyampaikan maklumat dan pada masa sama memberi hiburan digabungkan. Atas kesedaran itu, maka pada 20 Jun 1975, lahirlah Radio Muzik. Industri penyiaran Malaysia terus bergerak pantas seiring dengan perkembangan teknologi. RTM yang pada peringkat awalnya memancarkan beberapa stesen kini mempunyai 34 stesen radio.

Perkembangan Media baharu memberi impak yang besar kepada penyebaran maklumat kepada khalayak. Menyedari hakikat ini RTM mengorak langkah dengan memperkenalkan web streaming TV dan Radio seawal tahun 1996 lagi. Mulai tahun 2012 perkhidmatan ini diperluaskan dengan penggunaan mobile streaming. Sehingga 2013 terdapat 4 stesen TV (TV1, TV2, TVi dan Muzik Aktif) dan 9 stesen Radio (Nasionalfm, Minnalfm, Traxxfm, Klasik Nasional, Aifm, Asyikfm, Muzikfm, Sarawak Waifm dan Sabah Vfm) dapat ditonton dan didengar melalui web dan Mobile streaming.

Cetak Emel

offcanvas